Dr M teruskan rayuan berhubung pelantikan hakim tertinggi

Haniff berkata, Dr Mahathir meneruskan rayuan atas alasan beliau memerlukan mahkamah tertinggi mentafsir peruntukan perlembagaan.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan meneruskan rayuannya berhubung pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk tidak menjawab persoalan undang-undang mengenai pelantikan itu dalam satu kes lain.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memberitahu media bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Jan tahun depan untuk mendengar rayuan anak guamnya.

“Tun Dr Mahathir meneruskan rayuan atas alasan bahawa beliau memerlukan mahkamah yang tertinggi untuk mentafsir peruntukan perlembagaan yang perlu,” kata beliau.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norazihah Asmuni dengan kehadiran peguam Nur Dalila Husna Azmi yang mewakili Dr Mahathir dan Peguam Persekutuan Saiful Nizam Shahrin yang mewakili responden (Raus, Zulkefli dan kerajaan).

Dr Mahathir merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak 2 permohonannya bagi kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Malaysia, Raus dan Zulkefli bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim tersebut.

Dr Mahathir memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman pada 9 Ogos dengan menamakan Najib, kerajaan dan Raus sebagai responden, untuk mendapatkan perintah mandamus memaksa perdana menteri (Najib) dan kerajaan segera memberi nasihat kepada Yang Dipertuan Agong untuk membatalkan atau menamatkan pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh selama 3 tahun lagi bermula 4 Ogos.

Pada 27 Sept, Dr Mahathir memfailkan permohonan yang sama, menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli sebagai responden, untuk mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh khidmat presiden Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua permohonan itu berdasarkan 4 alasan mengikut peruntukan perlembagaan, termasuk Perkara 125 (1) perlembagaan yang menyebut seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur 65 tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang Dipertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada 6 bulan selepas dia mencapai umur 65 tahun.

Pada 24 Sept, panel 6 anggota Mahkamah Persekutuan menolak untuk merujuk 4 persoalan perlembagaan berhubung kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli dalam kes yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguambela Sarawak selepas memutuskan bahawa isu itu bersifat akademik memandangkan Raus dan Zulkefli sejak itu telah melepaskan jawatan mereka.

Raus dan Zulkefli meletakkan jawatan pada 31 Julai.