Erdogan minta Saudi bukti wartawan tinggalkan konsulat di Istanbul

Kehilangan Khashoggi dijangka memburukkan lagi hubungan 2 hala Turki-Saudi. (Gambar Reuters)

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam meminta Riyadh membuktikan dakwaan bahawa wartawan Saudi, Jamal Khashoggi, yang hilang sejak minggu lepas, keluar meninggalkan bangunan konsulat negara itu di Istanbul.

Kehilangan bekas editor terkenal Arab Saudi dan penasihat bekas ketua agensi risikannya itu mencetuskan kebimbangan dunia, terutama selepas sumber Turki berkata minggu lepas, pihak berkuasa negara itu percaya Jamal dibunuh di dalam bangunan konsulat berkenaan.

Khashoggi meninggalkan Arab Saudi tahun lepas dan berkata beliau bimbangkan tindak balas berikutan kritikannya mengenai dasar Saudi dalam perang Yemen dan tindakan rejim itu terhadap pengkritik.

Khashoggi memasuki bangunan konsulat Saudi di Istanbul Selasa lepas bagi mendapatkan dokumen untuk perkahwinan beliau.

Pegawai Saudi memberitahu beliau keluar meninggalkan bangunan tersebut tidak lama selepas itu, tetapi tunangnya yang menunggunya di luar bangunan berkata, Khashoggi tidak muncul-muncul.

“Kita perlu mendapatkan rumusan mengenai penyiasatan ini secepat mungkin. Pegawai konsulat tidak boleh menyelamatkan diri mereka hanya dengan berkata beliau “telah keluar”,” kata Erdogan kepada satu sidang media di Budapest.

Erdogan, yang berkata beliau mengikuti kes tersebut menambah, Turki tidak memiliki apa-apa dokumen atau bukti mengenai kes tersebut.

Sumber di konsulat Saudi menafikan Khashoggi dibunuh di dalam bangunan berkenaan dan berkata dakwaan itu tidak berasas. Ia juga menafikan wartawan itu diculik.

Dalam kenyataan pertama Rumah Putih mengenai kes itu, Presiden Donald Trump berkata pentadbiran beliau bimbang berikutan laporan tentang kehilangan Khashoggi.

“Saya prihatin dan tidak suka mendengar tentangnya. Mudah-mudahan ia selesai sendiri. Buat masa ini tiada siapa tahu apa-apa mengenainya, tetapi ada cerita buruk yang tersebar. Saya tidak suka,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.

Khashoggi merupakan wajah terkenal dalam program bual bicara politik di rangkaian televisyen satelit Arab dan pernah menjadi penasihat Putera Turki, iaitu bekas ketua agensi risikan Saudi dan duta ke Amerika Syarikat dan Britain.

Kehilangan beliau dijangka memburukkan lagi hubungan 2 hala Turki-Saudi. Hubungan antara 2 negara itu sedia buruk selepas Turki menghantar tenteranya ke Qatar tahun lepas sebagai tanda sokongan berikutan langkah negara berjiran, termasuk Arab Saudi, mengenakan sekatan ke atas negara itu.