Guan Eng: Kerajaan akan kurangkan milikan ekuiti dalam syarikat

Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan memainkan peranan sebagai pembeli tunggal terbesar negara bagi mendorong keberkesanan dan daya saing sektor swasta.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan mengurangkan pembabitan langsungnya terhadap pemilikan ekuiti dalam syarikat dan akan meletakkan sektor swasta untuk menerajui ekonomi.

Katanya, kerajaan baru percaya berhubung apa yang diperkatakan iaitu “urusan kerajaan adalah tidak terbabit dalam perniagaan” dan untuk itu, pada tahun-tahun mendatang akan menyaksikan program dilaksanakan bagi mempermudahkan sektor swasta mencapai potensi mereka.

“Kami akan permudahkan untuk sektor swasta dan mengurangkan pembabitan yang banyak oleh kerajaan.

“Sebagai tambahan, kita juga akan secara beransur-ansur merealisasilkan nilai aset milik kerajaan dan menggunakan hasil ini untuk mengurangkan hutang,” katanya berucap pada persidangan pelabur “Malaysia: A New Dawn Investors” di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan akan memainkan peranannya sebagai pembeli tunggal terbesar negara bagi mendorong keberkesanan dan daya saing sektor swasta.

Dalam pada itu katanya, tidak akan ada pembatalan projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan ia akan diteruskan tetapi dalam format dan mekanisme berbeza.

Lim berkata, model baru 2.0 akan diterapkan pada kesemua projek PPP yang masih menunggu kelulusan selain projek lain pada masa depan.

Melalui proses ini, sektor swasta dipulihkan kerana aset tanah akan dijual kepada entiti yang terbaik dalam memaksimumkan pulangan daripada pelaburan mereka di dalam hartanah, manakala projek akan diberikan kepada syarikat yang paling berdaya saing dan cekap, jelasnya.

Lim memberi contoh yang mana sebelum ini, sebahagian besar projek PPP didapati dirunding secara langsung dengan kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan seperti pembinaan rumah mampu milik, sekolah, balai polis, balai bomba dan kem tentera, sebagai pertukaran untuk tanah kerajaan, bukannya dibayar secara tunai.

“Bagaimanapun malangnya, rundingan dijalankan secara terus, oleh itu kita tidak tahu berapakah kos sebenar projek awam ini, atau nilai sebenar tanah kerajaan yang dijual atau dijadikan pertukaran.

“Melalui terma yang samar-samar ini, rasuah, keuntungan berlebihan kepada syarikat kroni dan pulangan yang rendah terhadap pelaburan, berleluasa.

“Proses rundingan langsung ini menyebabkan model PPP ini menjadi kegiatan pelanunan atau kapitalisme kroni.

Melalui rundingan langsung, nilai sebenar tanah kerajaan tidak semestinya di bawah harga, sementara kos projek awam menjadi terlebih harga,” jelasnya.

Bagaimanapun, model sebenar yang baru PPP atau PPP 2.0 akan mengubah proses pertukaran tanah dengan melaksanakan lelongan terbuka untuk tanah berkenaan dijual dan pada masa sama menjalankan tender terbuka untuk pembinaan projek itu.

Ini akan membolehkan kerajaan mencapai pulangan tertinggi untuk pelupusan aset serta menerima nilai terbaik untuk projek yang diberikan, tambahnya.