Hilang kerja: Guan Eng kata kebanyakan pekerja MRT2 boleh diambil semula

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pekerja daripada 20,000 yang hilang pekerjaan akibat kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd bagi kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) boleh diambil semula selepas penganugerahan kontrak baharu, kata Lim Guan Eng.

“Jika projek ini diteruskan sudah tentu kebanyakan pekerja ini boleh diambil semula untuk bekerja apabila kerajaan menganugerahkan kontrak ini,” katanya kepada pemberita di satu forum di Hotel Shangri-La hari ini.

Lim berkata kerajaan sedang mengeluarkan tender baharu pada harga bersesuaian bagi kerja-kerja yang belum disiapkan, selaras usaha membaiki kedudukan liabiliti kerajaan.

Terdahulu MMC-Gamuda mengumumkan daripada 20,000 pekerja yang terkesan dengan penamatan kontrak itu, lebih 3,000 adalah kakitangannya dan lebih 60% ialah Bumiputera.

Konsortium itu berkata perkembangan ini menyebabkan kesulitan tidak perlu kepada sejumlah besar tenaga kerja tempatan dalam pasaran yang sudah lembap.

Lim bagaimanapun berkata pekerja masih diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan pembinaan projek itu kerana bahagian atas tanah MRT2 masih diteruskan.

“Mereka juga mempunyai peluang yang sama. Harus diingat projek atas tanah masih diteruskan. Jadi, tidak boleh kata semua orang akan diberhentikan,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah MRT2 selepas kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah.

Lim ketika itu berkata kerajaan mengambil keputusan tersebut selepas mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender terbka berbanding dengan tawaran pihak kontraktor.