India mohon pengampunan untuk pekerja tidak berdokumen warganya

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata Malaysia dan India dijangka menandatangani memorandum persefahaman mengenai buruh migran Januari depan. (Gambar Facebook)

NEW DELHI: India memohon pengampunan untuk pekerja haramnya yang berada di Malaysia bagi membolehkan mereka memilih sama ada menghalalkan kehadiran di negara ini atau pulang ke negara asal, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Perkara itu dibincang ketika pertemuan antara Kulasegaran dan Menteri Hal Ehwal Luar India, Sushma Swaraj, di New Delhi, Isnin.

Bercakap kepada pemberita di sini, Kulasegaran berkata beliau memaklumkan kepada menteri India itu bahawa satu jawatankuasa bebas sedang mengkaji pelbagai isu berkaitan pekerja asing di negara ini dan selepas akan menyerahkan laporannya. Malaysia akan melihat “apa yang terbaik boleh dilakukan” mengenai pekerja tidak berdokumen dari India.

Menyentuh isu pengampunan, Kulasegaran berkata, “kita tidak mempunyai bantahan berhubung perkara itu.”

Terdapat kira-kira 150,000 pekerja India di Malaysia, namun menteri itu tidak memberikan anggaran mengenai bilangan yang tidak memiliki dokumen lengkap.

Malaysia dan India dijangka menandatangani satu memorandum persefahaman mengenai buruh migran pada Januari tahun depan, kata Kulasegaran.

Menteri itu turut membangkitkan isu kenaikan bayaran visa India yang tinggi untuk pelancong Malaysia ketika pertemuannya dengan Swaraj.

Beliau mencadangkan agar India membenarkan kemasukan tanpa visa selama 2 minggu kepada rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara itu, terutamanya bagi tujuan “kerohanian dan keagamaan”.

“Menteri itu telah bersetuju untuk mempertimbangkannya,” kata Kulasegaran.

Beliau berkata memandangkan Malaysia kini merupakan tempat tinggal golongan diaspora terbesar India, yang berjumlah lebih 2 juta orang dan majoriti berpegang kepada kepercayaan Hindu, langkah sedemikian mampu merangsang pelancongan ke India dengan ketara.

Isu penceramah India berusia 52 tahun, Zakir Naik, yang berdepan permohonan ekstradisi oleh New Delhi atas pertuduhan ekstremisme, turut dibangkitkan ketika pertemuan Kulasegaran dengan Swaraj.

Swaraj ingin tahu bilakah Malaysia akan menghantar penceramah itu pulang.

“Kami memaklumkan kerajaan Malaysia belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran pulang beliau. Kami akan membiarkan mahkamah memutuskannya,” kata Kulasegaran.

“Kami akan memastikan keadilan yang sewajarnya akan dilaksanakan,” kata beliau merujuk kepada dakwaan penyokong Zakir bahawa pertuduhan terhadap penceramah itu bermotifkan politik.

Menteri Malaysia itu, yang diiringi satu delegasi, tiba di New Delhi pada Sabtu malam untuk lawatan seminggu ke India.