Jenazah CEO Cradle Fund dikebumi semula Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata jenazah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd akan dikebumikan semula Jumaat ini.

Ketua polis negara berkata penggalian kubur Nazrin Hassan dilakukan pada pagi semalam dan bedah siasat semula dilakukan pada hari yang sama.

“Pada sebelah petang 4.00 hingga 6.00 petang proses bedah siasat semula telah dibuat pada jenazah Allahyarham,” katanya pada sidang media Pusat Latihan Polis hari ini.

Fuzi berkata penggalian kubur Nazrin dilakukan mengikut undang-undang dan agama.

Nazrin ditemui mati dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya 14 Jun lepas.

Kematiannya dikelaskan sebagai kes bunuh pada 3 Ogos selepas siasatan menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

72 polis dibuang kerja

Sementara itu, Fuzi dalam ucapannya berkata seramai 72 anggota dan pegawai polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan salah laku sehingga September lalu.

Mereka yang terkesan berpangkat superintendan, deputi superintendan dan anggota berpangkat rendah.

Beliau juga mengumumkan 1,484 anggota dan pegawai dikenakan tindakan termasuk digantung tugas atas pelbagai kesalahan iaitu “salah laku kuasa, cuai, gagal hadir bertugas dan terbabit dengan aktiviti jenayah”.

Fuzi berkata kesalahan tatatertib yang dilakukan warga polis pada tahun lalu ialah 3,096 kes.

“Jumlah itu dapat dikurangkan pada tahun ini. Isu integriti sentiasa menjadi fokus dan sedang diambil tindakan tegas,” katanya.