Kamu tiada hak tentukan pegawai siasatan, KPN beritahu Asri

KUALA LUMPUR: Ketua polis negara menepis permintaan peribadi Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta pakar pengganas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dikecualikan dalam siasatan keganasan di negeri itu.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan penolong pengarah di Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu dan berkata Asri tiada hak menentukan pegawai mana boleh ditugaskan dalam siasatan terhadap keganasan.

“Bukan hak dia untuk kata pegawai ini boleh atau tidak boleh ambil tindakan. Beliau seharusnya tidak masuk campur tugas polis dalam kita memastikan keselamatan negara terpelihara,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis hari ini.

Asri dilapor membuat permintaan itu selepas polis anti-pengganas menangkap 8 suspek di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor pada 24 September lalu.

Mereka ditahan selepas merancang menubuhkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara, dan 6 suspek mempunyai hubungan dengan IS dan kumpulan ekstremis lain.

Menurut polis, semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

Asri dalam laporan Utusan tidak menyatakan sebab permintaan itu. Beliau juga berkata pihaknya tiada masalah dengan penahanan mana-mana pelajar jika terbukti terlibat dalam kegiatan keganasan.

Sementara itu, Fuzi berkata penyebaran ideologi Salafi Jihadi ada kaitan dengan rangkaian militan di sini.

Beliau berkata polis dapat mengawal penyebaran ideologi Salafi Jihadi menerusi langkah proaktif.

“Seperti mana yang kita sedia maklum pada tahun ini sahaja kita telah lakukan 63 tangkapan yang melibatkan elemen IS tempatan dan juga daripada luar negara,” katanya.