Kenapa tak boleh pergi majlis makan malam, soal Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa dirinya tidak boleh menghadiri majlis makan malam di Lukut pada 11 Oktober ini, selepas pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menggesa beliau menangguhkan rancangannya.

Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Port Dickson itu berkata penduduk tempatan yang mengundang beliau ke majlis percuma untuk 3,000-4,000 tetamu itu.

“Kalau penduduk panggil saya untuk majlis makan malam, macam mana saya hendak buat? Calon-calon lain juga ada majlis makan malam. Jadi kenapa saya tidak boleh?” katanya kepada pemberita di satu forum di Hotel Shangri-La hari ini.

Bersih 2.0 dalam gesaannya kepada Anwar hari ini berkata makan malam itu “tidak ada bezanya dari majlis Jho Low di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13”.

Pemantau pilihan raya itu mengingatkan Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang makanan, minuman, pencuci mulut atau peruntukan untuk mendorong pengundi mengundi calon tertentu.