Keseronokan tangkap ikan layaran yang penuh cabaran

Bagi kaki pancing termasuk dari luar negara, perairan Rompin yang terletak di selatan Pahang yang bersempadan dengan Johor cukup dikenali sebagai ‘lubuk’ ikan layaran atau nama saintifiknya Istiophorus platypterus.

Biarpun isinya kurang enak untuk dimakan dan tidak mempunyai nilai yang tinggi di pasaran, ikan layaran yang turut dikenali sebagai ‘sailfish’ ini tetap menjadi buruan terutama kaki pancing tegar laut dalam yang memang sukakan cabaran ketika hendak menangkapnya.

Mana tidaknya! Untuk menewaskan ikan layaran itu sahaja memerlukan masa antara 30 minit sehingga 2 jam, bergantung kepada kemahiran serta kekuatan pemancing. Silap gaya joran boleh patah dan ikan yang diburu terlepas entah ke mana.

Lantaran itu, setiap tahun Rompin menjadi tumpuan kaki pancing yang mahu menyertai kejohanan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) yang juga salah satu daripada sirkit International Game Fishing Association (IGFA).

Pada tahun ini, RPBIC berlangsung selama 3 hari bermula 14 Sept dan menarik minat seramai 75 peserta terdiri daripada lebih 10 negara termasuk Malaysia.

Kerenah si ikan layaran

Bagi pemancing, Mohd Khairulnizam Abdul Rahim, 36 , ikan layaran mempunyai peminat tersendiri yang sanggup mengeluarkan modal besar demi menikmati kepuasan ‘menundukkan’ ikan tersebut.

“Orang kata, memancing bergantung pada nasib namun dalam aspek pertandingan menangkap ikan layaran, peralatan serta kemahiran memainkan peranan penting kerana ikan tersebut mempunyai ragam tersendiri dan sukar ditelah.

“Ia boleh disifatkan sebagai spesies ikan buruan yang ganas, mencabar dan kuat bertarung dan gemar kepada umpan ikan hidup jenis kembong, lolong, selar kunyit dan tamban.

“Layaran memburu mangsanya ini dengan menggunakan bantuan muncung tajam di hadapan kepalanya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Khairulnizam yang juga penangkap terbanyak ikan layaran pada RPBIC tahun ini berkata, kesabaran serta tumpuan amat diperlukan kerana formasi ikan ini berenang tidak menentu dan perlu melepaskannya sejauh 150 meter dahulu sebelum menariknya secara perlahan-lahan mengikut ‘rentak’ ikan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi pemancing Kamarul Asri Kamal, 29, berkata spesies ikan berparuh yang mampu berenang dengan kelajuan mencecah 110km sejam ini menjadi dambaan kaki pemancing tegar dan ia diletakkan sebagai penanda aras terhadap pencapaian pemancing.

“Kalau dah nama pemancing sudah pasti kita ada sasaran tertentu dan jika kita berjaya menangkap ikan layaran ini sudah dikira sebagai satu pencapaian tertinggi.

“Kepuasan dicapai apabila kita terpaksa memerah tenaga dan keringat untuk bertarung dengan dengan ikan ini yang menyelam dan bergerak laju, melompat di permukaan air serta berdiri dan meluncur secara tiba-tiba.

“Di sinilah kesabaran pemancing akan diuji kerana formasi ikan ini berenang tidak menentu, kadangkala ia menuju ke belakang bot, ada juga yang menjunam ke bawah dan terus melompat ke atas, “ katanya.

Tingkat ekonomi Rompin

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang, Datuk Edros Yahaya berkata penganjuran RPBIC yang diadakan sejak 2004 itu berjaya meletakkan nama Rompin sebagai antara destinasi pelancongan memancing ikan layaran utama dunia.

Di luar perairan negara, ikan layaran banyak terdapat di lautan tropika bersuhu panas dan sederhana termasuk Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Selain layaran, mersuji dan marlin adalah antara spesies ikan berparuh (billfish), iaitu kategori ikan yang dianggap kuat dalam sukan memancing.

Menurut Edros, ikan berkenaan dikenali sebagai layaran kerana mempunyai sebaris sirip lebar yang di bahagian atas badannya seperti kain layar dan ia mempunyai insang dan rahang di bahagian bawah yang pendek berbanding rahang di atas yang dijadikan senjata apabila menghadapi lawan.

Beliau menambah, kehadiran ikan layaran di sekitar perairan Rompin sepanjang tempoh April sehingga September setiap tahun menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di daerah ini.

Ia melibatkan sektor pelancongan seperti hotel, pengusaha bot, pengusaha rumah inap, kedai makan serta penduduk setempat yang dapat berniaga secara kecil-kecilan.

“Mengikut perangkaan, Rompin menjana pendapatan ekonomi sebanyak RM15 juta hingga RM20 juta setahun kerana menjadi tarikan lokasi pilihan pemancing termasuk acara lain yang dijalankan setiap tahun.

“Keadaan ini merancakkan sektor pelancongan daerah ini dan turut menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang singgah ke Rompin untuk menikmati pelbagai keistimewaan yang ada di sini,” katanya.