Kos MRT 2 perlu dikurangkan, kata Guan Eng

Lim berkata kerajaan tidak ada pilihan selain menawarkan tender terbuka antarabangsa untuk baki kerja bawah tanah projek MRT 2 bagi menjimatkan kos.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan hari ini bahawa projek MRT 2 akan diteruskan, dan menambah Putrajaya berazam untuk mengurangkan kos bagi membaiki kedudukan liabiliti kerajaan.

“Kami berazam meneruskan projek ini,” kata beliau merujuk kepada MRT 2 dan LRT 3.

“Akan tetapi kami juga beriltizam untuk memastikan skopnya adalah perlu atau tidak berlebih-lebihan dan kosnya pula munasabah.

Bercakap kepada satu persidangan pelabur bertemakan “Malaysia: A New Dawn”, Lim mengulangi pengumuman beliau Ahad lepas bahawa kerajaan berjaya merundingkan semula pengurangan sebanyak 23% daripada jumlah kos bagi kontrak atas permukaan MRT 2. Katanya pengurangan itu adalah bersamaan dengan penjimatan sebanyak RM5.2 bilion.

“Apabila kami gagal mencapai persetujuan berhubung isu pengurangan kos yang sesuai bagi bahagian kerja-kerja bawah tanah projek MRT 2 selepas menerima maklum balas perlu daripada jurutera perunding bebas, maka kami tidak ada pilihan selain membuat tawaran tender terbuka antarabangsa untuk baki kerja bahagian bawah tanah itu,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kos dan meningkatkan penjimatan apabila tender antarabangsa bagi kerja bawah tanah itu dimuktamadkan.

Kos pembinaan lebih rendah akan memperbaiki kedudukan liabiliti dan hutang masa depan kerajaan, yang bermakna harga tiket lebih murah dan jumlah penumpang lebih ramai, katanya.

Konsortium MMC-Gamuda sebelum ini berkata penamatan kontrak untuk membina bahagian bawah tanah projek MTR 2 akan mengakibatkan kehilangan serta-merta pekerjaan lebih 20,000 orang yang terlibat dalam projek itu daripada rangkaian perbekalan melibatkan lebih 600 syarikat tempatan.

“Daripada 20,000 orang itu, lebih 3,000 merupakan kakitangan usaha sama MMC-Gamuda, dan 60% daripadanya adalah Bumiputra,” katanya dalam satu kenyataan berikutan laporan mengenai keputusan Kementerian Kewangan menamatkan kontrak berkenaan setelah gagal mencapai persetujuan bagi mengurangkan kos projek.

“Selain itu, penamatan kontrak itu juga akan mendedahkan MMC-Gamuda kepada tindakan saman menuntut ganti rugi daripada pekerja yang diberhentikan, sub-kontraktor, pembekal, pengilang dan sebagainya, yang kontrak mereka terpaksa ditamatkan bukan atas kesalahan mereka,” kata kenyataan itu lagi.