KPDNHEP lancar buku panduan kemasukan produk PKS ke pasar raya besar

Saifuddin berkata buku panduan itu sebagai pemudahcara untuk menggerakkan produk PKS ke pasaran lebih luas dan menguntungkan.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan buku panduan kemasukan produk halal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke pasar raya besar tempatan dan antarabangsa.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution berkata, buku panduan yang diterbitkan khusus oleh KPDHEP itu merupakan program yang dianjurkan untuk memberikan pengiktirafan kepada usahawan PKS tempatan di bawah bimbingan kementerian tersebut.

“Buku ini diterbitkan dengan kerjasama Halal Industry Development Corporation (HDC) sebagai panduan kepada usahawan PKS berkaitan tatacara dan prosedur diperlukan untuk memasukkan produk mereka ke pasaran pasar raya besar dalam negara ini.

“Penghasilannyan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan seperti pemain industri, HDC, JAKIM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), Jabatan Standard Malaysia, Persekutuan Pengeluar Malaysia (FFM) dan SIRIM,” katanya dalam ucapan rasmi Hari Bersama PKS di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen, Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin.

Tambahnya, buku tersebut akan diedarkan secara percuma kepada para usahawan dan boleh didapati di laman web rasmi kementerian.

“Buku ini kita edar secara percuma. Bagi yang terlepas peluang untuk mendapatkan edisi cetak buku, mereka boleh muat turun dalam edisi digital di laman web rasmi kementerian kita.

“Terdapat 2 versi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh dimuat turun oleh para usahawan,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang kepentingan penghasilan buku panduan itu, Saifuddin berkata ia sebagai pemudahcara untuk menggerakkan produk PKS ke pasaran lebih luas dan menguntungkan.

“Apabila mereka sudah didedahkan dengan panduan yang diperlukan oleh pasar raya seperti standard pembungkusan, jenama, jenis produk dan sebagainya, jadi mudah untuk pihak kita (kementerian) menggerakkan produk PKS ke peringkat yang lebih tinggi dan secara besar-besaran.

“Pertama, standard mereka semua perlu sama dan mengikut keperluan asas yang diperlukan oleh pasar raya tenpatan mahupun antarabangsa,” katanya.