Majlis makan malam di Lukut akan diteliti semula, kata Tian Chua
Naib presiden berkata PKR akan mengambil kira pandangan Bersih 2.0 bagi memastikan aktiviti kempen yang dijalankan oleh Anwar mematuhi etika.
PETALING JAYA: PKR akan meneliti semula satu majlis makan malam di Lukut 11 Oktober depan yang sepatutnya dihadiri calon pilihan raya kecil Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ditegur pemantau pilihan raya, Bersih 2.0.
“Kami akan mengambil kira pandangan Bersih 2.0 bagi memastikan aktiviti kempen yang dijalankan oleh Anwar dalam PRK ini mematuhi etika,” kata Naib Presiden Tian Chua kepada FMT.
Terdahulu, Bersih 2.0 menggesa Anwar supaya menangguhkan rancangan ke majlis makan malam itu sehingga selepas PRK Port Dickson pada 13 Oktober.
Pemantau pilihan raya itu mengingatkan Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang makanan, minuman, pencuci mulut atau peruntukan untuk mendorong pengundi mengundi calon tertentu.
Anwar hari ini menjelaskan penduduk tempatan yang mengundang beliau ke majlis percuma untuk 3,000-4,000 tetamu itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Terdahulu, Anwar menegur Bersih 2.0 dan Suruhanjaya Pilihan Raya kerana mempersoalkan kehadiran beliau di konsert dan majlis makan malam di Port Dickson 6 Oktober lepas.