Najib tolak dakwaan kronisme dalam kontrak Gamuda-MMC

Najib berkata, rakyat amat mudah diperdaya dengan memfitnah kononnya Gamuda adalah kroni beliau. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri najib Razak hari ini menolak dakwaan bahawa Gamuda-MMC, yang kontraknya ditamatkan oleh Putrajaya bagi mengurangkan kos projek MRT 2, merupakan kroni beliau dan rapat dengan Umno.

Dalam hantaran di laman Facebook beliau, Najib memuat naik imej 30 pemegang saham terbesar Gamuda, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan syarikat insurans hayat.

“Adakah kroni saya KWSP, PNB, KWAP dan unit amanah swasta atau syarikat insurans hayat?

“Tidak. Semua ini akhirnya dipegang oleh rakyat dan manfaatnya dipulangkan kepada rakyat. Adakah kroni sebenar saya ialah rakyat?,” tulis beliau.

Bekas presiden Umno itu membuat kenyataan tersebut berikutan kritikan dalam kalangan pengguna media sosial selepas beliau berkata penamatan kontrak Gamuda-MMC untuk membina bahagian bawah tanah projek MRT 2 akan mengakibatkan “kehilangan serta-merta pekerjaan” lebih 20,000 orang yang terlibat dalam projek berkenaan.

Najib yang juga merupakan bekas menteri kewangan mendedahkan kontrak tersebut diberikan kepada Gamuda-MMC melalui tender terbuka antarabangsa yang menyaksikan bidaan daripada syarikat gergasi dari China, Jepun dan Korea Selatan.

“Tetapi amat mudah rakyat diperdaya dengan memfitnah kononnya Gamuda adalah kroni saya”

Katanya, keputusan kementerian kewangan menender semula kerja bawah tanah yang belum siap melalui proses tender terbuka antaraangsa berikutan penamatan kontrak berkenaan tidak menjamin kos yang lebih rendah daripada harga ditawarkan oleh Gamuda-MMC.

Ahad lepas, Putrajaya mengumumkan penamatan kontrak Gamuda-MMC selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya ia boleh “membuat penjimatan besar” dengan menender semula pakej kerja bawah tanah itu.