Penasihat AS mengenai Afghanistan berbincang dengan Pakistan

Khalilzad juga dijangka melawat Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Qatar sebagai sebahagian daripada lawatan 10 hari beliau bagi membawa Taliban ke meja rundingan. (Gambar Reuters)

ISLAMABAD: Penasihat Amerika Syarikat (AS) mengenai Afghanistan, Zalmay Khalilzad, mengadakan perbincangan dengan setiausaha luar Pakistan di Islamabad hari ini, beberapa hari selepas beliau melawat Kabul bagi memulakan perbincangan dengan Taliban dalam usaha menamatkan perang 17 tahun di negara itu, menurut sumber pejabat luar.

Pelantikan Khalilzad, bekas duta AS ke Afghanistan, bulan lepas memperlihatkan usaha terbaru pentadbiran AS meyakinkan pemimpin Taliban supaya ikut serta dalam proses damai Afghanistan, di sebalik peningkatan serangan oleh kumpulan itu.

Khalilzad bertemu Presiden Ashraf Ghani di ibu negara Afghanistan Ahad lepas bagi membincangkan kemungkinan rundingan damai dengan Taliban, yang menolak tawaran rundingan dan melancarkan boikot ke atas pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan 20 Okt ini.

Setiausaha Luar Tehmina Janjua menerima lawatan Khalilzad dan mereka berdua mengetuai “perbincangan tahap perwakilan” dengan pegawai keselamatan, pertahanan dan diplomatik dari kedua-dua negara, kata jurucakap pejabat luar Mohammad Faisal di Twitter.

Kerjasama Pakisatan dalam proses damai itu dipercayai kunci kejayaannya. Angkatan tentera negara itu dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Taliban Afghanistan setelah menggunakan kumpulan itu dalam usaha Islamabad melemahkan pengaruh India di rantau itu pada dekad 1990-an.

Pegawai AS menuduh Pakistan menyediakan kawasan selamat bagi militan Taliban di wilayah bersempadan dengan Afghanistan dan menggunakan mereka sebagai alat dalam dasar luarnya. Pakistan menafikan penggunaan proksi.

Khalilzad juga dijangka melawat Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Qatar selepas meninggalkan Islamabad sebagai sebahagian daripada lawatan 10 hari beliau bagi membawa Taliban ke meja rundingan.

Kemahiran bekas duta kelahiran Afghanistan itu dalam bahasa utama negara berkenaan, budaya dan politiknya boleh membantu beliau berbincang dengan semua pihak berkepentingan dalam proses damai, selain pengalaman beliau menasihati atau bekerja dengan 4 pentadbiran AS.