Polis: Ketua Pemuda PKR Sabah tak rogol 2 wanita Indonesia

Omar Mammah menggesa semua pihak menghentikan spekulasi dan dakwaan mengaitkan Raymond Ahuar dengan dakwaan rogol itu.

KOTA KINABALU: Polis Sabah membersihkan nama Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar daripada dakwaan merogol 2 wanita Indonesia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah mengesahkan 2 wanita itu membuat laporan berhubung dakwaan rogol pada 25 September lalu, tetapi mereka tidak menamakan Ahuar sebagai pelakunya.

Katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang kemudiannya mengaku melakukan jenayah itu.

“Hasil siasatan kami, kami menahan suspek itu dan dia mengaku merogol, bukannya ketua Pemuda PKR negeri yang melakukannya.

“Jadi, hentikan semua spekulasi dan dakwaan mengaitkan seorang individu yang tidak bersalah,” katanya selepas menghadiri Majlis Keselamatan Negeri di sini, hari ini.

Semalam, Ahuar menafikan dakwaan beliau merogol 2 wanita Indonesia dalam satu rakaman video yang tersebar di media sosial.

Setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew itu percaya dakwaan itu mungkin ialah taktik pencabar untuk mensabotajnya menjelang pemilihan PKR pada 3 dan 4 November ini.

Beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di Balai Polis Keningau, Jumaat lalu.

Dalam video yang dimuat naik ke Youtube, seorang wanita menamakan dirinya “Linda” mendakwa beliau dan kawannya, Wilda, dibawa ke Sabah oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Raden, serta Ahuar.

Beliau mendakwa 2 lelaki itu merogol, memukul mereka, serta beliau turut didera dengan besi.

Omar berkata, polis sudah menyoal siasat 2 wanita berusia 23 dan 36 tahun itu dan mereka mengenal pasti suspek yang kemudiannya ditahan, tetapi tidak menyatakan pembabitan Ahuar dalam insiden itu.

Mengenai dakwaan palsu dibuat 2 wanita itu dalam rakaman video, katanya, polis akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut, jika perlu.

“Saya akan periksa video itu semula dan mengambil tindakan (jika perlu). Kami juga akan mencari siapa yang menyebarkan video itu,” katanya sambil menambah 2 wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, kes rogol itu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan untuk laporan dibuat Ahuar.

Ahuar yang merupakan sebahagian daripada pasukan Rafizi Ramli, bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda di peringkat nasional dan berharap dapat menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Rafizi mencabar Datuk Seri Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR.