Putrajaya akan pinda Perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak

Liew Vui Keong berkata, Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali status seperti ditakrifkan di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963.

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengumumkan kerajaan akan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Sebagai kesinambungan ucapan perdana menteri pada 16 September 2018 di Kota Kinabalu, saya dengan sukacita mengumumkan kerajaan akan meminda Perkara 1 (2) untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada 1976,” katanya pada majlis makan malam di sini, malam tadi sempena lawatan rasminya ke Sarawak.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan status Sabah sebagai rakan sekutu Semenanjung akan dikembalikan.

“Dalam erti kata lain, Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali status seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata, semua perkara dan isu tertangguh di Sabah dan Sarawak tidak dapat diselesaikan hanya dengan mempunyai Jawatankuasa Kabinet dan pengumuman perdana menteri.

Beliau berharap semua rakyat Malaysia terus bersatu dalam meminda Perkara 1 (2) dan membetulkan ketidakadilan yang dialami Sabah dan Sarawak sejak 3 dekad lalu serta Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Marilah kita semua menjadi sebahagian daripada sejarah ini dan bersama-sama kita berusaha ke arah harapan baru dan Malaysia yang lebih baik,” katanya sambil menambah ketika pertama kali memulakan tugas sebagai menteri bertanggungjawab bagi undang-undang, beliau komited meletakkan 100% usaha untuk memenuhi agenda pembaharuan undang-undang serta hal berkaitan Sabah dan Sarawak seperti dinyatakan secara khusus dalam teras ke-4 manifesto Pakatan Harapan.

Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) sudah membuat beberapa cadangan untuk pembaharuan institusi di negara ini, termasuk badan kehakiman.

“Ia termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman baru yang kerajaan memutuskan untuk menuruti cadangan ini dan melantik 4 ahli baru suruhanjaya itu dengan pelantikan 3 bekas hakim Mahkamah Rayuan dan pakar undang-undang Perlembagaan.

“Saya percaya sepenuhnya pembaharuan dalam institusi kehakiman, termasuk perubahan umur persaraan hakim,” katanya.

Liew berkata, di negara lain seperti Australia dan United Kingdom, hakim bersara pada umur 70 tahun dan hakikatnya ada cadangan di Australia hakim harus bersara pada umur 80 tahun, asalkan mereka lulus pemeriksaan perubatan.

Beliau berkata, Hakim Mahkamah Agung India, Kurian Joseph baru-baru ini juga menggesa kerajaan India menaikkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun.

“Ini adalah isu global yang harus diambil perhatian dengan sewajarnya oleh kerajaan.

“Dengan ini, saya dengan sukacita mengumumkan kerajaan akan mencadangkan untuk menaikkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun.

“Cadangan ini memerlukan pindaan pada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dan ia akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang bersama pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.”