Putrajaya mungkin perkenal cukai baru untuk bayar hutang negara

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan cukai baru dan menjual aset negara untuk membayar hutang peninggalan kerajaan terdahulu.

Perdana menteri berkata, ada cadangan memperkenalkan cukai baru dan beliau tahu rakyat akan menentangnya.

“Saya tidak rasakan ia adalah tindakan yang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi kita mungkin perlu merangka percukaian baru. Ia bagi membolehkan kita membayar semula hutang kita.

“Namun sudah tentu, cara lain boleh dilakukan adalah dengan menjual aset-aset kita,” katanya berucap dalam Forum “Malaysia A New Dawn” hari ini.

Semalam, ahli ekonomi yang memenangi hadiah Nobel, Joseph Stiglitz dilaporkan berkata, ada banyak cukai baik yang boleh diperkenalkan bagi merangsang ekonomi negara.

Antaranya cukai warisan, cukai keuntungan modal dan cukai hartanah untuk hartanah pegangan besar yang baik untuk ekonomi negara serta masyarakat.

“Saya turut berpendapat cukai karbon adalah cukai yang amat baik kerana ia menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau dan dapat memacu negara ke arah masyarakat lebih inovatif dan hijau,” katanya semalam.

Hari ini, Dr Mahathir berkata, antara aset negara yang boleh dijual adalah tanah, tetapi kerajaan baru tidak akan meneruskan dasar kerajaan terdahulu yang menjual banyak tanah kepada warga asing.

“Saya tidak rasakan langkah itu bagus untuk kita, tetapi kita masih boleh jual tanah kepada warga tempatan supaya mereka boleh bangunkan projek perumahan dan penempatan.

“Lebih daripada itu, kita mungkin boleh menjual sebahagian daripada aset-aset negara yang bernilai untuk mencari dana bagi membayar hutang.”

Perdana menteri berkata, situasi Malaysia hari ini hampir sama dengan keadaan ekonomi negara pada 1997 hingga 1998 ketika berdepan krisis ekonomi.

“Kini, situasinya hampir sama, kecuali kita dahulu hadapi krisis ekonomi yang mana mata wang negara kita sudah tidak mempunyai nilai dan menyebabkan kita miskin.

“Ketika ini, ia bukan disebabkan nilai mata wang menyusut. Mata wang kita kekal dengan agak tinggi, walaupun ada sedikit sebanyak penurunan. Masalah yang kita hadapi kini adalah mencari dana membayar hutang besar.”