Rasuah: 10 polis, 1 pesara direman 7 hari

Suspek berpangkat konstabel hingga inspektor ini pernah bertugas di Kota Belud, sebelum ditahan SPRM hasil aduan orang ramai.

KOTA KINABALU: Sepuluh anggota polis dan seorang pesara polis direman 7 hari, mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah disyaki berkaitan aktiviti dadah.

Perintah tahanan reman ke atas semua suspek berumur 26 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie, berikutan permohonan pegawai SPRM, Faliq Basirudin.

Semua suspek berpangkat konstabel hingga inspektor itu pernah bertugas di Kota Belud, sebelum ditahan SPRM di pelbagai lokasi semalam, antara 2 petang hingga 8 malam, hasil aduan orang ramai.

Menurut Faliq, 9 daripada suspek itu ditahan di Kota Belud dan masing-masing seorang di Kepayan serta Kota Kinabalu.

Semua suspek dikatakan menerima bayaran secara harian, mingguan dan bulanan menerusi akaun bank masing-masing daripada pihak disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah, melibatkan nilai puluhan ribu ringgit sejak 2014 hingga Jun lalu.

“Kami tunggu pengesahan daripada pihak bank dan mendapatkan penyata-penyata bank bagi setiap suspek…selebihnya dalam siasatan dan sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam masa 7 hari yang diberikan, kita akan ajukan permohonan (reman) ke-2 Ahad ini,” katanya hari ini.

Menurut Faliq, pihaknya sedang mengesan semua saksi yang ada kaitan dengan kes itu, termasuk pihak yang pernah memberi rasuah kepada anggota polis terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.