Rumah panjang di pedalaman Julau dekat dengan teknologi pintar

Audrey Iverson Yii. (Gambar Bernama)

Audrey Iverson Yii, 2, kelihatan begitu asyik ‘bermain’ telefon pintar yang dipegang erat di tangannya selepas berjaya ‘merampas’ gajet itu daripada ibunya.

Sambil jari-jemarinya cekap menekan-nekan paparan pada skrin telefon, sekali-sekala anak tunggal itu kelihatan teruja dan tergelak-gelak sendirian seolah-olah ada sesuatu yang mencuit hatinya.

Audrey tiba-tiba meluru ke arah saya yang sejak tadi memerhatikannya lalu berkata sesuatu dengan perkataan yang terhad dan sebutan agak pelat. Rupa-rupanya anak yang baharu belajar bercakap itu mengajak saya bermain permainan digital. Malah, kanak-kanak itu kemudiannya menunjukkan pula pelbagai cerita kartun popular seperti Doraemon yang dimuat turun dari You Tube.

Penulis tergamam! Setahu saya masyarakat Iban di situ langsung tidak ada kemudahan talian komunikasi mahupun internet kerana penempatan mereka terletak jauh di pedalaman.

“Bagaimana mereka boleh memuat turun semua aplikasi itu? Telefon mereka canggih, model terkini berbanding telefon aku yang cermin retak seribu dan hanya menunggu ‘ajalnya’,” getus hati kecil saya.

5 jam naik perahu

Penulis melalui pengalaman itu baru-baru ini ketika mengikuti Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), ke Rumah Panjang Anthony Bau yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Nanga Sugai, di Julau.

Perjalanan ke sana memakan masa lebih sehari bermula dengan perjalanan melalui jalan raya dari Sibu ke Pangkalan Entabai di Julau sejauh 120 kilometer.

Kami kemudiannya menaiki perahu panjang enjin sangkut yang merupakan pengangkutan utama ke rumah panjang berkenaan yang terletak di hulu Sungai Mujok. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 5 jam.

Disebabkan kedudukan rumah panjang itu, kami diberitahu sejak awal iaitu kawasan itu hanya boleh diakses dengan telefon satelit – menyebabkan kami beranggapan penduduk di situ pastinya tidak mempunyai telefon bimbit.

Jadi, kami menyimpan pelbagai gajet pintar di dalam beg masing-masing atas andaian tidak dapat menggunakannya sepanjang 3 hari di sana.

Ternyata, sangkaan kami meleset sama sekali. Boleh dikatakan segenap lapisan masyarakat di situ bukan sahaja celik IT malah cekap mengunakan pelbagai aplikasi.

Tidak kolot

Ibu Audrey, Lydia Anak Gimang, 23, bagaikan memahami riak muka saya yang agak terpinga-pinga melihat anaknya dengan gajet itu, memberitahu kesukaran mendapat isyarat untuk talian telefon bukanlah masalah bagi mereka untuk berhubung dengan dunia luar.

“Budak-budak di sini memang pantang tengok telefon. Walaupun Audrey masih kecil, tetapi sudah tahu main ‘game’ dan tengok video di YouTube.

“Walaupun di sini tidak ada ‘line’, setiap unit di rumah panjang 20 pintu ini mempunyai telefon pintar. Ada juga yang memiliki lebih daripada satu telefon,” katanya kepada Bernama.

Malah, telefon pintar mereka dilengkapi pelbagai platform media sosial seperti WhatsApp, Facebook serta Instagram juga dikemas kini statusnya.

“Jangan ingat orang muda saja yang ada Facebook dan WhatsApp. Mereka yang dipanggil ‘aunty’ atau yang berumur dalam lingkungan 50-an pun tahu menggunakan Facebook dan hantar mesej WhatsApp, macam datuk saya.

“Kami bukannya kolot. Walaupun hidup jauh di pedalaman dan tidak ada ‘line’ tapi orang di sini tetap terdedah dengan teknologi dan mempunyai telefon pintar yang canggih,” katanya.

Cari isyarat talian

Anak sulung daripada 6 beradik itu berkata kebanyakan generasi emas Iban di situ tahu menggunakan telefon pintar setelah diajar oleh anak mereka yang bekerja di luar kawasan ini atau yang bersekolah.

Lydia mulai celik teknologi maklumat (IT) ketika bekerja sebagai penjawat awam di Kuching selama 2 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja selepas berkahwin kerana ingin menetap di kampung mengusahakan pertanian lada hitam milik keluarganya.

Penulis tertanya-tanya bilakah mereka dapat menggunakan semua platform media sosial tersebut sekiranya tiada akses komunikasi di kampungnya.

“Tapi, masyarakat Iban di sekitar Sungai Mujok mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dengan dunia luar. Biasanya kami akan pergi ke kawasan yang tinggi sikit seperti bukit di belakang rumah agar mudah dapat ‘line’,” jelas Lydia sambil tersenyum.

Pilihan lain adalah pergi ke Sekolah Kebangsaan Nanga Ju, dengan menaiki perahu selama kira-kira satu jam dari rumah panjang itu.

Tetapi, mereka tidak dapat membuat panggilan di sekolah itu kerana ia hanya dilengkapi parabola Wifi untuk akses internet saja.

“Kami biasanya minta jasa baik kakitangan sekolah untuk guna internet di sana sama ada untuk kemas kini Facebook, hantar mesej WhatsApp,” katanya.

Perkembangan dunia luar

Lydia lebih selesa pergi ke pekan Julau, kira-kira 6 jam perjalanan dengan perahu, yang mengambil masa kira-kira 4 jam dari rumah panjang Anthony Bau untuk mendapatkan akses telekomunikasi- sama ada untuk menghubungi suaminya yang bekerja di Simunjan, Sarawak mahupun melayari internet.

Menariknya, Lydia mengikuti perkembangan fesyen semasa dan selok-belok pembelian melalui laman maya seperti Lazada, Zalora dan sebagainya. Barangan pembelian yang di pesan oleh masyarakat rumah panjang itu kemudiannya dihantar ke Pejabat Pos pekan Julau, untuk pungutan.

“Telefon sangat penting walaupun rumah kami tidak ada ‘line’. Bayangkan kalau kita menghadapi kesusahan seperti kematian dan perlu menghubungi anggota keluarga yang bekerja di Kuching, Semenanjung atau di mana saja, telefon lebih praktikal berbanding surat-menyurat,” katanya.

Selain kaedah tersebut, Lydia berkata masyarakat pedalaman di situ juga mengetahui perkembangan semasa menerusi televisyen dan juga radio Wai FM Iban.

“Inilah cara kami mendapat berita mengenai dunia luar. Disebabkan susah nak keluar, kami gunakan Astro Njoi kerana tidak terikat dengan bil bulanan.

“Saluran yang dapat pun terang dan saya pun tidak pernah rasa terpinggir biarpun hidup jauh di pedalaman,” katanya.