Saya sudah lupa permusuhan dengan Dr M, kata Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah melupakan sejarah permusuhannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang berkempen untuknya dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

“Sebagai perdana menteri, beliau tak pernah datang kempen PRK. Bila dia datang sini, saya rasalah kasih yang terbekam dulu semarak semula.

“Saya tahu dia tegas, walaupun nampak selalu senyum dan sikapnya juga keras. Bila dia ambil keputusan, ia selepas mengambil kira pelbagai perkara.

“Untuk semua itu, saya berikan penghormatan saya kepada anda, Dr Mahathir,” katanya berucap dalam ceramah mega “Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia” di PD Waterfrontdi, malam ini.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, beliau menyayangi perdana menteri berusia 93 tahun itu yang merupakan individu paling layak memimpin Malaysia ketika ini.

“Dalam keadaan sekarang, lebih baik Tun Mahathir pimpin negara ini. Saya sebut ini dengan ikhlas.

“Saya sayangkan beliau seperti bapa dan pemimpin. Sekarang, saya terima beliau adalah individu terbaik untuk memimpin Malaysia.”

Beliau menyifatkan gandingannya dengan Dr Mahathir “luar biasa mantap” dan bersejarah.

“Saya bertemu semula Tun Mahathir selepas 18 tahun di penjara. Saya terkesan seorang negarawan dapat tinggalkan semua demi tekad membantu negara dan rakyat.

“Tak ramai pemimpin dan negarawan (di) dunia mempunyai ketokohan seperti Tun Mahathir.”