Selepas Anwar, Lembaga Pengampunan pula cabar saman pengundi PD

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini membantah saman difailkan seorang pengundi Port Dickson terhadap lembaga itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status pengampunan diraja presiden PKR itu.

Jabatan Peguam Negara yang mewakili lembaga itu berkata, Noraziah Mohd Shariff sepatutnya memfailkan petisyen pilihan raya untuk mempertikaikan kelayakan Anwar bertanding, bukannya saman pemula.

“Lembaga itu membuat bantahan awal hari ini kerana mahkamah sivil biasa tiada kuasa untuk mendengar pertikaian berhubung pilihan raya.

“Sebarang pertikaian perlu didengar di mahkamah pilihan raya,” kata peguam kanan persekutuan, Suzana Atan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menetapkan 8 November untuk mendengar bantahan Lembaga Pengampunan dan cubaan Anwar untuk membatalkan saman itu.

Ini bermakna, mahkamah hanya akan mendengar saman itu hampir sebulan selepas pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson diadakan Sabtu ini.

Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu dengan alasan Noraziah tiada locus standi dan tidak adil.

Noraziah memfailkan saman pemula itu pada 28 September lalu, sehari sebelum pencalonan bagi PRK Port Dickson.

Beliau mahu mendapatkan perisytiharan mahkamah yang Lembaga Pengampunan ditubuhkan untuk menasihati Yang Dipertuan Agong, tidak mematuhi Perlembagaan.

Noraziah turut memohon perisytiharan yang pengampunan diberikan Agong terbatal kerana Lembaga Pengampunan tidak ditubuhkan mengikut Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa pengampunan Anwar tidak melayakkan beliau bertanding di Port Dickson kerana Perlembagaan hanya membenarkan orang yang disabitkan kesalahan menjadi wakil rakyat selepas 5 tahun.

Anwar ialah ahli Parlimen Permatang Pauh ketika dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan liwat. Beliau diberikan pengampunan diraja dan dibebaskan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

PRK Port Dickson diadakan selepas peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Anwar akan berdepan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon bebas – bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.