Serbuan khalwat dianggap ceroboh privasi, kata peguam

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata, umat Islam boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi penguatkuasaan agama Islam yang melakukan serbuan khalwat kerana ia adalah pencerobohan privasi.

Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada orang yang boleh diambil nyawa atau dilucutkan kebebasan diri, kecuali mengikut undang-undang.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor, memutuskan kebebasan diri termasuk hak untuk privasi,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini yang mengingatkan pegawai agama perlu lebih berhati-hati dalam menjalankan serbuan khalwat.

Katanya, memecahkan pintu ketika serbuan khalwat adalah penyalahgunaan jawatan kerana ia bukan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP).

Syed Iskandar berkata, ia dianggap pencerobohan privasi jika pegawai terbabit dalam tindakan bersifat menindas seperti menghentam pintu.

“Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi dan tiada undang-undang persekutuan atau negeri boleh melanggar hak asasi rakyat.”

Dari segi Islam, katanya, walaupun dewan undangan negeri meluluskan enakmen jenayah syariah, ia masih tertakluk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika undang-undang negeri melanggar hak privasi, ia boleh dicabar di mahkamah sivil, walaupun ia menyamar sebagai enakmen agama Islam.”

Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa agama untuk mengelakkan dianggap polis moral kerana ada perbezaan antara kesalahan jenayah dan dosa.

“Bagaimanapun, Islam turut menentang pencerobohan privasi kerana ia melarang pengintipan dan pencerobohan.”

Katanya, pihak berkuasa agama dan agensi penguatkuasaan undang-undang hanya perlu mengambil tindakan, jika tingkah laku seseorang itu memudaratkan prinsip moral awam, seperti perbuatan tidak senonoh yang keterlaluan.

Peguam, R Kengadharan berkata, Perlembagaan membenarkan rakyat melakukan urusan mereka tanpa agensi kerajaan atau badan kawal selia melanggar kebebasan sivil mereka.

“Ia bukan kerja badan agama melaksanakan nilai-nilai mereka ke atas orang lain. Jika ada sebarang pencerobohan, mereka perlu ditegur.”

Beliau turut menasihatkan pihak berkuasa agama mendidik orang ramai mengenai prinsip moral, bukannya bertindak dengan niat memalukan seseorang.