SPR jangka 70% keluar undi di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan sekitar 70% pengundi keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata ini berdasarkan beberapa faktor, termasuk calon yang menjadi tarikan kepada pengundi di kawasan itu.

“Ada calon yang benar-benar kuat…(dengan) latar belakang berlainan dan kumpulan pengundi berlainan yang menyokong mereka,” katanya dalam program bual bicara terbitan Astro Awani malam tadi.

Beliau menjangkakan angka itu lebih tinggi daripada PRK Sungai Kandis dan Balakong sebelum ini yang mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

PRK Parlimen Port Dickson akan menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengenai dakwaan PRK Port Dickson adalah pembaziran wang awam, Azhar berkata, mengikut undang-undang, ahli Parlimen boleh mengosongkan kerusi pada bila-bila masa tanpa sebarang sebab.

“Jadi, di sini seorang ahli Parlimen yang terpilih memutuskan untuk mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar dicalonkan (sebagai calon) pada pilihan raya kecil.

“Di bawah undang-undang, dia boleh berbuat demikian dan dia berbuat demikian yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan. SPR mengambil perhatian terdapat kekosongan kerusi itu dan kita perlu mengadakan pilihan raya kecil.”