Aktivis: Terlalu banyak pelaburan asing tidak baik untuk penduduk pribumi

Evolusi syarikat pelaburan asing, terutama dari China, akan memberi kesan negatif ke atas cara hidup alami dan asli di Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal untuk membuka Sabah kepada pelabur dari China menimbulkan kebimbangan bahawa pelaburan yang tidak terkawal akan memberi kesan ke atas penduduk pribumi di negeri itu.

Penyelaras Gerakan Pribumi untuk Hak Kendiri dan Kebebasan (IPMSDL) bagi Asia, Andrew “Atama” Ambrose berkata kebimbangannya ialah mengenai kurangnya ketelusan dan kajian kesan.

Beliau mempersalahkan ahli politik yang katanya sibuk mengejar kekayaan bagi menyokong cita-cita politik mereka serta amalan kapitalisme kroni.

“Di Malaysia, sehingga kini masih belum ada kajian sistematik mengenai pelaburan asing langsung dari China, terutama berhubung kesannya ke atas penduduk pribumi Sabah.

“Pelaburan China di rantau ini telah berkembang daripada projek individu dan terasing kepada pemerolehan hartanah dan kuasa politik,” katanya.

Atama memberitahu FMT bahawa beliau bimbang evolusi syarikat pelaburan asing, terutama dari China, akan memberi kesan negatif ke atas cara hidup alami dan asli di Sabah.

Beliau mengingatkan pelaburan dari China biasanya akan diikuti dengan pertambahan jumlah tenaga kerja di Sabah yang akan memberi kesan langsung ke atas pasaran tenaga kerja tempatan yang sedia lembab.

“Pelaburan ini juga akan membuka pintu lebih luas kepada imigrasi haram dan tenaga kerja murah tanpa kemahiran yang akan mengancam pasaran tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan bahawa fokus pelaburan China dalam industri mengekstrak dan pembuatan akan memberi kesan besar ke atas alam sekitar dan pemerolehan tanah secara besar-besaran untuk tujuan pembinaan kilang dan lokasi pelombongan.

“Ini akan menyebabkan berlakunya penempatan semula penduduk pribumi dan pemupusan budaya serta cara hidup mereka. Justeru kita perlu mengkaji perkara ini lebih jauh dengan bantuan komuniti antarabangsa,” katanya.

Atama berkata walaupun beliau tidak membantah apa yang dinamakan “pelaburan baik”, tetapi ia tidak akan membawa apa-apa manfaat sekiranya tidak wujud perlindungan sosial dan hak pekerja, terutamanya apabila sektor swasta menolak undang-undang gaji minimum di negara ini.

Beliau menggesa kerajaan negeri menggubal dasar yang melindungi rakyat, bukannya hanya berminat mendapatkan keuntungan yang merugikan penduduk.

Baru-baru ini Shafie berkata, kerajaan Sabah mengalu-alukan syarikat dan ahli perniagaan dari China yang ingin melabur di negeri itu dengan membawa lebih banyak modal dan teknologi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga berkata sekumpulan pelabur dari China bersedia melabur sejumlah AS$2.5 bilion dalam sektor tertentu di Sabah dengan mencipta 3,000 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

Shafie berkata, kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai dan menyokong pelabur.