Asri persoal kenapa pakar pengganas tolak undangannya

Mohd Asri Zainul Abidin meminta pihak berkuasa untuk tidak mengaitkan perbezaan pendekatan Islam di Perlis dengan menyokong keganasan.

PETALING JAYA: Mufti Perlis sekali lagi mempelawa Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay untuk “berdialog” mengenai isu keganasan, mempersoalkan mengapa undangannya ditolak sedangkan pakar pengganas itu boleh pula ke negeri-negeri lain.

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism di Cawangan Khas Bukit Aman itu memberi alasan sibuk ketika menolak undangan untuk memberi penjelasan mengenai isu keganasan.

“Saya akan undang dia sekali lagi. Kita nak dengar penerangan dia dan kita ingin berdialog dengan dia. Sebab kita nak tahu ‘terrorist’ itu apa,” katanya.

“Dia kena mari sebab saya beritahu secara terbuka…kerajaan Malaysia Baharu…dia jangan tembak dari jauh saja,” katanya dalam siaran di Facebook semalam.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menolak permintaan Asri yang mahu Ayob dikecualikan dalam siasatan keganasan di Perlis.

Asri tidak menyatakan sebab permintaan itu.

Asri membuat permintaan itu selepas polis anti-pengganas menahan seorang lelaki tempatan dan 7 warga asing di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor 24 September lalu, kerana merancang menubuhkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi.

Polis berkata, semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

Asri berkata pusat pengajian itu bukan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Tangkap pengganas, tidak ada masalah. Kalau benar pusat itu melahirkan ramai pengganas, tutup pusat itu,” katanya, dan menggesa pihak berkuasa menapis pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Bukan saja yang nak datang, yang dah datang pun tapis sekali,” katanya.

Asri meminta pihak berkuasa untuk tidak mengaitkan perbezaan pendekatan Islam di Perlis dengan menyokong keganasan.

“Orang Perlis tak qunut tapi belum ada lagi ada orang Perlis pergi ke luar ketuk kepala orang baca qunut,” katanya.