Astro, Maxis sumbang RM5 juta kepada tabung bencana Sulawesi

Dalam kenyatan bersama, Astro dan Maxis berkata, sumbangan bertujuan membantu dalam pemulihan di Sulawesi, terutama bagi pembinaan semula sekolah dan komuniti. (Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dan Maxis Bhd (Maxis) hari ini menyampaikan sumbangan bersama sebanyak RM5 juta kepada Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima replika cek sumbangan itu daripada Pengerusi Astro Tun Zaki Azmi dan Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri yang bertanggungjawab terhadap tabung berkenaan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, bakal ketua pegawai eksekutif Astro Henry Tan dan ketua pegawai eksekutif interim Maxis Robert Nason juga hadir.

Dalam kenyataan bersama mereka, Astro dan Maxis berkata sumbangan itu bertujuan untuk membantu dalam pemulihan di Sulawesi terutama bagi pembinaan semula sekolah-sekolah dan komuniti.

Zaki yang ditemui selepas majlis penyampaian replika cek itu berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membina sekolah-sekolah dan komuniti di Palu memandangkan banyak bangunan sekolah yang roboh dan rosak.

Beliau turut menyatakan rasa sedih atas tragedi yang menimpa Palu dan kemusnahan yang telah menjejaskan kehidupan penduduknya, dan beliau berharap bantuan itu akan digunakan untuk membina sekolah-sekolah dan memberi faedah jangka panjang kepada mangsa tragedi berkenaan.

“Kita berharap dapat menggunakan wang itu untuk membina struktur kekal seperti sekolah-sekolah berbanding memberi bantuan berupa wang tunai. Kami mempunyai rakan-rakan dan mereka akan membantu kami melaksanakan apa yang kami rancang untuk dilaksanakan,” kata beliau.

Zaki berkata Dr Mahathir juga telah mengucapkan terima kasih atas sumbangan itu.

“Kami di Astro akan melakukan promosi untuk menggalakkan lebih ramai orang menyumbang kepada tabung berkenaan bagi membantu mangsa-mangsa tersebut,” kata beliau.

Beliau menambah, Astro akan menggunakan waktu siaran di TV, radio dan platform digitalnya untuk berkempen bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia untuk membantu mengurangkan penderitaan masyarakat di Sulawesi.

Sementara itu, Arshad berharap sumbangan bersama itu dapat membantu mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terjejas dalam waktu kesusahan itu.

Orang ramai yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh melayari laman sesawang www.maxis.com.my, www.hotlink.com.my atau www.astro.com.my untuk maklumat lanjut berkaitan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi.