CEO Lynas: Kilang kami tak hasil sisa toksik, radioaktif

Amanda Lacaze berkata, unsur nadir bumi berkualiti tinggi yang diproses loji Lynas di Gebeng, Kuantan tidak meningkatkan paras radiasi di persekitaran.

KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia bukan loji nuklear dan tidak menghasilkan sisa nuklear, demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, unsur nadir bumi berkualiti tinggi yang diproses di loji itu tidak menganjak paras radiasi di persekitaran.

“Amat penting bagi orang ramai memahami radiasi merupakan sebahagian kegiatan harian kita. Kita terdedah kepada radiasi menerusi banyak cara, contohnya merokok, menaiki pesawat atau kadang-kadang hanya kerana kita merupakan sebahagian daripada persekitaran.

“Kami adalah syarikat yang mematuhi undang-undang, kami patuhi semua keperluan lesen, setiap perkara yang kami lakukan berkisar tentang memastikan ancaman sifar kepada orang-orang kami, ancaman sifar kepada persekitaran dan ancaman sifar kepada masyarakat,” katanya.

Lynas Malaysia mengoperasikan kilang pengeluaran di Gebeng, Kuantan yang memproses unsur nadir bumi dari lombong Lynas di Australia Barat sejak 6 tahun lalu.

Bagaimanapun, wujud dakwaan kegiatan loji itu membahayakan kesihatan kerana ia menghasilkan sisa toksik dan radioaktif.

Minggu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berjanji semak semula ‘terbuka dan telus” ke atas loji Lynas di Kuantan.

Mengulas lanjut, Lacaze berkata, loji itu hanya mengeluarkan hasil sampingan nadir bumi dalam 2 bentuk gipsum, iaitu “phosphogypsum” kaya dengan besi (WLP) yang mengandungi radiasi pada paras sangat rendah yang terhasil secara semula jadi dan gipsum kaya dengan magnesium (NUF), iaitu bahan bukan radioaktif.

Kedua-dua produk dikendalikan secara selamat mengikut peraturan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

Sisa WLP di Lynas Malaysia disimpan di loji dalam fasiliti atas tanah yang direka bentuk dan diurus mengikut peruntukan amalan terbaik antarabangsa.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Dr Ismail Bahari berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjelaskan risiko radiasi daripada operasi Lynas sangat rendah.

Katanya, gipsum merupakan bahan pelbagai guna yang digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk industri binaan (simen dan lepa plaster) serta pertanian.

Mengenai kemungkinan kebocoran, Ismail berkata, syarikat itu menjalankan penyelidikan kesan radiasi, selain membuat unjuran 100 tahun mengenai kemungkinan sebarang kebocoran.

“Antara yang kita buat dalam penilaian impak radiasi ialah apa yang akan berlaku jika dilanda tsunami? Kalau anda kata tsunami, anda perlu tanya di mana lokasi kami,” katanya.

Menurut Ismail, beliau pernah mengukur paras radiasi di Lynas Malaysia dan mendapati ia setara dengan radiasi persekitaran di Pantai Pasir Hitam di Langkawi.

“Malah (kadar radiasi) kami jauh lebih rendah berbanding sisa daripada kegiatan perlombongan bijih timah.

“Sisa ini sebenarnya boleh dikembalikan ke persekitaran berasaskan prinsip pengurusan sisa bagi radioaktif yang dipanggil ‘dilute and disperse’,” katanya sambil menegaskan pengeluaran dan penyimpanan WLP tidak mempunyai kesan negatif ke atas komuniti di kawasan sekitar, memandangkan tiada peningkatan paras radiasi di persekitaran sejak loji memulakan operasi.