Jack Ma: Perang perdagangan AS-China akan berterusan

Jack Ma ‘amat bimbang’ Washington ‘mengalami lebih banyak kesan buruk’ dalam perang perdagangan itu. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Holding Ltd, Jack Ma berkata, perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan membawa banyak masalah kepada negara lain, bukan hanya Washington dan Beijing.

“Ia juga akan menjejaskan semua negara yang mempunyai hubungan ekonomi dengan AS dan China,” katanya dalam sidang video di “Persidangan China: China di Asia Tenggara” anjuran South-China Morning Post di Kuala Kumpur, hari ini.

Ma berkata, beliau “amat bimbang” AS akan “mengalami lebih banyak kesan buruk” dalam perang perdagangan itu.

“Sejak 20 hingga 30 tahun lalu, ekonomi AS berkembang pesat kerana defisit perdagangan mereka.”

Beliau menjangkakan perang perdagangan itu “akan berlarutan untuk jangka panjang” dan menggesa kedua-dua negara bekerjasama menyelesaikan isu berbangkit.

Sementara itu, Ma berkata, kelebihan Asia berbanding rantau lain ialah keyakinan dalam bidang teknologi dan internet.

“Di Eropah, orang bimbang mengenai teknologi seperti internet. Mereka lebih memikirkan cara mengawal atau menggubal peraturan,” katanya ketika membandingkan penerimaan teknologi oleh Asia dan Eropah.

Di Asia, katanya, perbincangan lebih memfokuskan cara menjadikan teknologi dan internet lebih menyeluruh.

Beliau berkata, bukan hanya usahawan, tetapi kerajaan turut mengambil perhatian khusus terhadap teknologi.

Ma turut memuji Malaysia mempunyai sekumpulan pegawai kerajaan yang khusus membincangkan e-dagang.

Pada 4 Ogos lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada perang perdagangan AS-China dari segi menarik pelaburan asing.

Perdana menteri berkata, dasar dilaksanakan dalam perang perdagangan itu akan menyebabkan pelabur tidak dapat melabur di negara tertentu dan akan menguntungkan negara yang tidak terlibat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dilaporkan berkata, perang perdagangan AS-China boleh memanfaatkan Malaysia dalam jangka pendek.

Beliau berkata, hubungan diplomatik dengan 2 negara itu akan memberi peluang unik kepada Malaysia.

Baru-baru ini, South China Morning Post memetik Menteri Perdagangan China, Zhong Shan sebagai berkata, China tidak akan tunduk kepada tuntutan Washington, walaupun eksportnya dikenakan lebih banyak tarif.

Washington dan Beijing melancarkan perang perdagangan ke atas produk bernilai AS$100 bilion (RM410 bilion) daripada kedua-dua negara sejak awal Julai lalu.

Donald Trump sebelum ini mengugut akan mengenakan duti import ke atas lebih AS$500 bilion (RM2 trilion) produk China, melainkan negara itu bersetuju mengubah amalan perdagangannya.