Jual aset Khazanah dan PNB langkah mudah, tetapi tidak bijak, kata Najib

Najib berkata ini bukan kali pertama Lim Guan Eng mengambil langkah menjual aset kerajaan, sebaliknya sudah dilakukannya ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik pendekatan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat menjual aset negara sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan hutang negara.

Najib berkata, penjualan aset negara, terutamanya dalam bentuk saham yang disenarai adalah langkah paling mudah dilakukan, namun adakah ia merupakan langkah bijak dan sudah dikaji terlebih dahulu sebelum diambil.

“Adakah langkah untuk menjual aset negara hari ini seumpama menggadai masa depan negara bagi menampung langkah populis kerajaan hari ini?

“Meningkatkan ekonomi negara yang akan melonjakkan hasil kerajaan ialah langkah yang patut diambil,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan kos.

Pua berkata, Khazanah, sebagai salah satu pihak berkepentingan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, serta PNB akan mengkaji semula pegangan mereka.

Disebabkan itu, Najib menggelar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai “pakar jual aset”, bahkan kata beliau ia bukan kali pertama Lim mengambil langkah menjual aset, sebaliknya sudah dilakukan ketika pemimpin DAP itu memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

“Menteri kewangan kita sebenarnya pakar jual aset. Semasa dia ketua menteri Pulau Pinang, dia banyak jual tanah, hak tanah dan saham milik kerajaan negeri untuk menunjukkan lebihan bajet setiap tahun.

“Walaupun perbelanjaan tahunan kerajaan negeri naik sebanyak 3 hingga 4 ganda lebih banyak selama 10 tahun itu. Sekadar nak jual aset, bukan pandai pun,” katanya.

Najib berkata, sewaktu beliau mentadbir negara, aset Khazanah naik dari RM33.7 bilion akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017, manakala aset PNB naik dari RM120 bilion kepada RM279.2 bilion.

Beliau turut menjelaskan hutang kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk bon atau sukuk, manakala kadar faedah ke atas bon ini adalah sekitar 3.6% setahun. Ia lebih rendah dengan kadar pertumbuhan purata aset Khazanah iaitu sebanyak 9.6% setahun, manakala PNB 9.2%.

“Saya beri contoh, pada tahun 2008 aset Khazanah ialah sebanyak RM33.7 bilion. Jika dijual keseluruhan aset Khazanah pada tahun itu, kita dapat mengurangkan hutang negara sebanyak RM33.7 bilion.

“Ia juga bermaksud kita akan mengurangkan beban faedah hutang sebanyak RM1.2 bilion setahun jika kadarnya ialah 3.6%, iaitu penjimatan RM10.1 bilion untuk tempoh 9 tahun sehingga akhir tahun 2017.

“Pada masa itu kita tidak jual aset Khazanah, asetnya meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017, iaitu keuntungan RM82 bilion. Pilihan mana yang lebih bijak? Keuntungan RM82 billion ataupun penjimatan RM10.1 bilion?” katanya.