Kadir kata sultan ‘berkempen’ halang Dr M pengetahuan umum

Datuk A Kadir Jasin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Editor veteran Datuk A Kadir Jasin hari ini berkata adalah menjadi pengetahuan umum beberapa sultan “berkempen” menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke arena politik.

Beliau mengulas ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia semalam, mengatakan Agong ada menawarkan jawatan perdana menteri kepadanya selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih PH, berhak mengetahui tindak balas Agong terhadap keputusan mereka memilih PH,” kata Kadir di blognya.

Menurut Kadir, Wan Azizah berkata dia ditawarkan jawatan itu kerana PH menang pilihan raya dengan lambang PKR dan dia adalah presiden parti.

Editor veteran berkata ketika itu semua orang tahu calon perdana menteri PH adalah Dr Mahathir, kerana persetujuan parti-parti komponen itu dihebahkan kepada umum.

“Jadi rakyat tahu dan satu dunia juga tahu calon perdana menteri ialah Dr Mahathir dan bukan orang lain,” katanya.

Beliau seterusnya menyorot perhatian pembacanya kepada peristiwa Istana Kelantan menarik balik gelaran Dr Mahathir pada 6 Februari lepas, 3 bulan sebelum PRU14.

“Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa orang sultan secara tersurat dan tersirat ‘berkempen’ menghalang kepulangan Dr Mahathir ke arena politik tanah air,” katanya.

Beliau berkata ucapan oleh Wan Azizah itu mengesahkan tekaan orang ramai.