Karya P Ramlee antara 149 ‘warisan negara’ akan diumum minggu depan

P Ramlee yang meninggal dunia pada 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung meninggalkan jumlah karya yang besar dalam bidang perfileman dan lagu. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Karya Seniman Negara Tan Sri P Ramlee adalah antara 149 warisan negara yang akan dipulihara, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata pengumuman mengenai senarai warisan kebangsaan itu, yang termasuk bangunan warisan, akan dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi pada 17 Okt ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas usaha untuk memulihara bangunan lama di Kuala Lumpur selepas mengadakan sidang akhbar mengenai “ Batik Fun Walk 2018” di sini, hari ini.

P Ramlee meninggal dunia pada 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung telah meninggalkan jumlah karya yang besar dalam bidang perfileman dan lagu.

Menyentuh mengenai “Rumah Degil”, iaitu Rumah Pusaka Chow Kit yang sedang dibina semula di pekarangan Balai Seni Negara (BSN), Jalan Tun Abdul Razak, beliau berkata rumah itu akan siap pada penghujung November ini.

Muhammad Bakhtiar bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada rumah itu akan dibuka kepada orang ramai atau dijadikan rumah pameran.

Sementara itu Ketua Pengarah BSN Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan untuk memastikan pengisian dalam rumah itu.

“Kami hendak jadikan Rumah Degil seperti ‘living heritage’ dan rumah itu mempunyai semangat rumah (tradisional Melayu),” katanya.

Beliau berkata malah kedudukan rumah itu sama seperti kedudukannya di Jalan Chow Kit yang terhimpit di celah bangunan konkrit yang tinggi.

“Kami mungkin mengunakan ruang atas untuk pameran, dan di tingkat bawah sebagai ruang aktiviti,” katanya.