Kerajaan akan semak keputusan tender semula projek MRT 2, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat semula keputusannya menawarkan tender terbuka antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT 2. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dalam perkembangan terbaru yang mungkin merupakan berita baik kepada pekerja yang bimbang akan kehilangan pekerjaan berikutan penamatan kontrak pakej bawah tanah projek MRT 2, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menyemak semula keputusannya.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat semula keputusannya menawarkan tender terbuka antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT 2 kerana sebarang kerja penstrukturan akan memberi kesan ke atas kira-kira 20,000 pekerja.

“Kita sedang mengkaji dan menyemak semula perkara ini dengan teliti. Ia akan dibincangkan,” kata Dr Mahathir seperti dipetik akhbar New Straits Times selepas menyampaikan ucapan penutup Forum Khazanah Megatrend 2018 semalam.

Terdahulu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, “jika projek itu diteruskan, ramai daripada pekerja terbabit boleh diambil bekerja selepas kontrak (baru) dikeluarkan”. Beliau berkata ramai pekerja tersebut akan ditawarkan kerja oleh kontraktor baru.

Putrajaya menamatkan kontrak MMC-Gamuda selepas kedua belah pihak gagal mencapai persetujuan berhubung pengurangan kos pembinaan dan isu berkaitan.

Lim berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan percaya ia boleh membuat “penjimatan besar” dengan menender semula pakej kerja bawah tanah berbanding tawaran dibuat MMC-Gamuda.

Isnin lepas, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MMC-Gamuda), firma yang dianugerahkan kontrak kerja bawah tanah terbabit berkata, penamatan kontrak tersebut akan memberi kesan ke atas lebih 20,000 pekerja dan 600 syarikat tempatan yang termasuk dalam rangkaian perbekalan projek berkenaan.

Satu petisyen dilancarkan semalam bagi meminta kerajaan menyemak semula keputusannya menamatkan kontrak itu kerana ia akan menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan.