Kes seleweng dana: Zahid dipanggil ke SPRM esok

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipanggil semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, selepas disoal siasat agensi anti-rasuah itu lebih 8 jam hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik Bernama berkata, presiden Umno itu dipanggil semula untuk memberi keterangan pada 10 pagi esok.

Zahid dipercayai dipanggil buat kali ke-4 esok bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Ditanya jika Zahid akan ditahan dalam tempoh terdekat, Azam bagaimanapun enggan mengulas.

Hari ini, Zahid tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.20 pagi tadi bersama anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah dan abang tiri Zahid, Datuk Seri Mohammad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Datuk Nurulhidayah dilihat meninggalkan bangunan berkenaan namun kelibat abang tiri Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi tidak kelihatan. Kedua-dua mereka turut dilihat memasuki bangunan itu pagi tadi.

Ini adalah kali ke-3 Zahid dipanggil ke SPRM memberi keterangan berkaitan kes sama, selepas 2 kali memberi keterangan kepada SPRM, Julai lalu, berhubung dakwaan RM800,000 milik yayasan yang dipengerusikannya, digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan berkata, beliau sudah membayar semua wang yayasan itu yang digunakan untuk membayar bil kad kredit, selepas pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan berbuat demikian.