Khazanah, PNB akan lepaskan aset bukan-strategik, kata Tony Pua

Setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua.

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan kos, kata setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua semalam.

Pua berkata, Khazanah, sebagai salah satu pihak berkepentingan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, serta PNB akan mengkaji semula pegangan mereka.

Kementerian juga akan melihat kepada pegangan bukan-teras dan aset bukan-strategik bagi membolehkan kerajaan meneroka nilai penuh mereka, katanya dalam satu perbincangan panel bersempena persidangan pelaburan “Malaysia: A New Dawn, di sini semalam.

Turut menjadi ahli panel ialah bekas menteri perdagangan dan industri Tan Sri Rafidah Aziz; pengerusi biro dasar dan strategi PPBM Datuk Dr Rais Hussin dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pua berkata kementerian akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam menentukan bagaimana aset terbabit boleh dilepaskan dengan cara yang teratur.

“Langkah ini akan mencapai 2 tujuan, iaitu ia meningkatkan penyertaan sektor swasta dan menambah wang kerajaan,” katanya.