Lantik orang PKR di UniSZA: Jika layak, tiada masalah, kata ahli akademi

Prof Tajuddin Rasdi. (Gambar Facebook

PETALING JAYA: Seorang ahli akademi berkata pelantikan ahli politik di mana-mana institusi awam tidak patut jadi masalah jika individu tersebut benar-benar berkelayakan.

Prof Tajuddin Rasdi di Universiti UCSI berkata tidak ada sebab untuk mempertikaikan pelantikan Pengerusi PKR Perak Datuk Muhammad Nur Manuty ke lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) jika melihat kepada kelayakan dan kredibilitinya.

“Sudah tentu sebilangan orang kata ini menunjukkan kononnya universiti tidak bebas dan sebenarnya yang kita nak komen adalah sama ada orang itu berkelayakan atau tidak,” katanya kepada FMT.

Tajuddin berkata Muhammad seorang ahli akademi di Universiti Islam Antarabangsa dan penggerak Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), yang “menyajikan Malaysia dengan Islam yang progresif”.

“Beliau menerajui Abim jadi maknanya beliau ada ideologi. Beliau juga komited dengan reformasi suatu ketika dahulu yang memulihkan negara kita dari pelbagai sudut,” katanya.

Muhammad hari ini sah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA berkuat kuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Susulan daripada lantikan itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang mempunyai kaitan dengan PKR menuntut Maszlee menjelaskan pelantikan itu, yang menurutnya melanggar prinsip autonomi universiti.

Timbalan Presiden MKM, Haissazc Shuqkin Hisham berkata Kementerian Pendidikan nampaknya tidak ingin mengubah budaya lantikan politik di universiti.

“Muhammad seorang ahli politik. Beliau kini pengerusi PKR Perak dan calon Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum ke-14 lalu.”

Tajuddin bagaimanapun hairan mengapa isu lantikan politik dibangkitkan banyak pihak.

Katanya, meskipun manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak membenarkan lantikan politik di universiti awam, namun ia patut boleh dikecualikan jika orang yang dilantik itu benar-benar berkelayakan.

“Saya rasa niat dalam manifesto PH yang dimaksudkan itu ialah campur tangan politik yang terlalu teruk contohnya melantik orang yang tidak layak dan sekadar mengikut telunjuk pihak atasan,” katanya.

Sebelum ini, pelantikan Menteri pendidikan Maszlee Malek sebagai presiden ke-8 UIA awal bulan lalu mengundang kritikan ramai pihak termasuk dalam kalangan PH.