Lelaki direman 7 hari kerana penggal kepala, kerat badan bapa

Anggota bomba menemui bahagian badan mangsa yang dikerat suspek di lubang pembetungan dan belakang rumah anak-beranak itu.

IPOH: Seorang lelaki direman 7 hari mulai hari ini, selepas dipercayai membunuh bapa sendiri dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada 6 bahagian di Kampung Kanthan Baru, semalam.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Salwa Ja’afar di sini yang membenarkan permohonan polis untuk membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Yahya Abdul Rahman berkata, suspek dipercayai berbuat demikian selepas berang ditegur bapanya yang berusia 74 tahun kerana menghisap dadah di dalam rumah mereka.

Katanya, kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang di lubang pembetungan sedalam 5 kaki.

Yahya berkata, siasatan di tempat kejadian menemui sebilah parang sepanjang 0.6m di sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk mengerat badan mangsa.