Mufti P Pinang gesa SOP serbuan khalwat ditambahbaik

GEORGE TOWN: Seorang mufti menyeru penambahbaikan tatacara operasi standard (SOP) serbuan khalwat agar imej Islam sebagai agama toleran tidak tercemar.

Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata undang-undang Islam mahu mencegah kemungkaran tetapi penguatkuasaan tidak patut merejah ruang perbadi.

“Sebagai contoh, menyerbu atau merejah bilik hotel dengan sewenang-wenangnya berdasarkan andaian atau laporan yang kesahihannya diragui. Melakukan perkara seperti itu akan memberi gambaran yang salah terhadap Islam sebagai agama yang adil dan toleran kepada semua,” katanya.

Salim berkata Islam juga melarang seseorang mendedahkan salahlaku, apalagi “membuka aib” orang yang berdosa, atau dalam kes ini, pelaku kesalahan khalwat.

Beliau berkata larangan itu berdasarkan surah Al-Hujurat ayat 12 dan hadis Abu Hurairah dan Ibnu Umar.

“Jadi, mereka yang terlibat dalam maksiat seperti zina, minum arak dan lain-lain dinasihatkan tidak menghebahkannya dan bertaubatlah kepada Allah.

“Mendedahkan salahlaku itu hanya mencemar nama baik orang itu dan dalam masa yang sama mengalakkan orang-orang yang lemah semangat meniru,” katanya.

Salim berkata itulah prinsip yang mungkin mahu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa, apabila temubual mengenai kepolisan moral menjadi kontroversi apabila laporan itu memberi gambaran seolah beliau toleran terhadap khalwat.

Akhbar tersebut sudah menjelaskan laporannya.

Salim berkata penguatkuasa agama harus memantau orang Islam dari jauh dan penggubal dasar menggubal lebih banyak undang-undang untuk mencegah maksiat.

“Memang Islam mewajibkan umatnya terutama pihak berkuasa supaya berperanan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tetapi perintah ini hendaklah dilaksanakan secara bijaksana dan berhemah supaya tidak menghasilkan natijah sebaliknya.

“Justeru penguatkuasaan perlu mengikut garis panduan tertentu dan dilaksanakan mengikut SOP yang terancang. Pihak berkenaan berhak mengadakan SOP berdasarkan apa yang difikirkan wajar bagi mencapai maslahah atau kepentingan awam,” katanya.