Najib: Kit Siang tak tahu bagaimana untuk balas saya

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata sangat ketara tokoh DAP Lim Kit Siang sudah tidak tahu bagaimana untuk membalasnya berkaitan isu mengadakan siasatan khas ke atas beberapa kes kematian berprofil tinggi.

Beliau berkata demikian selepas Lim hari ini berkata dia tidak lagi mahu melanjutkan isu itu sehingga Najib “kembali waras dan tidak cakap meraban”.

“Maka, jika tak mahu menjalankan siasatan khas, tak usahlah kaitkan nama saya dengan kes-kes ini lagi,” kata Najib di Facebook malam tadi.

“Mereka tahu jika siasatan dibuka oleh mereka, ia akan menunjukkan bahawa saya tidak terlibat dan telah difitnah oleh mereka selama bertahun-tahun.”

Najib mengingatkan Lim sendiri pada minggu lepas “secara tiba-tiba” mencadangkan kes-kes berprofil tinggi itu disiasat semula dan dia bersetuju dengan cadangan itu.

“Selepas saya bersetuju, Lim juga orang yang sama tidak mahu lagi mendesak untuk wujudkan siasatan khas itu.

“Siapa yang tidak rasional, sebenarnya?” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, Lim berkata keadilan dipersendakan semasa pentadbiran Najib kerana kes-kes berprofil tinggi tidak disiasat.

Pemimpin DAP itu tertanya mengapa Najib tidak membuka semula siasatan ke atas kematian misteri itu walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pada hari yang sama Najib menyahut kenyataan itu dan berkata PH tiada sebab untuk tidak mewujudkan siasatan khas kerana kertas siasatan dan agensi siasatan di tangan kerajaan.

Lalu beliau menggesa kerajaan membuka semula kes kematian wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu; pembantu kepada wakil rakyat DAP, Teoh Beng Hock; pengasas AmBank, Hussain Najadi dan timbalan pendakwaraya Kevin Morais.

Pada 10 Oktober, Lim berkata pentadbiran Najib mesti dipertanggungjawabkan atas kematian Teoh walaupun bekas perdana menteri itu tidak terlibat.

Pada hari yang sama pemimpin Umno itu sekali lagi mencabar PH menyiasat kes-kes itu kerana tanggungjawab kini pada kerajaan sekarang.

“Selepas saya berterima kasih kepada Lim kerana membersihkan nama saya bahawa saya tidak bunuh mendiang Teoh, Lim berang dan kata dia tidak mahu membalas saya lagi,” kata Najib malam tadi.