Pakar ekonomi: Dasar berasaskan kaum tak galak pelaburan

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak melaksanakan dasar berasaskan kaum yang tidak menggalakkan pelaburan kerana ia akan menyebabkan pelabur bimbang ke Malaysia.

Pensyarah Universiti Malaya itu merujuk krisis kewangan pada 2008 yang menyaksikan perubahan berlaku dalam kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, antara perkara pertama dilakukan Najib selepas melihat ekonomi negara ialah menghapuskan tindakan afirmatif, tetapi ia mendapat bantahan daripada ahli Umno.

“Najib kemudian berubah kepada tindakan afirmatif mesra pasaran yang dibincangkan dalam Rancangan Malaysia ke-10, tetapi tiada dalam Rancangan Malaysia ke-11,” katanya di luar “Persidangan China: China di Asia Tenggara” anjuran South China Morning Post, hari ini.

Gomez berkata, Najib sebaliknya memperkenalkan dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013, tetapi beliau mempersoalkan sejauh mana keberkesanan dasar itu.

“Adakah ia berjaya mewujudkan perusahaan Bumiputera? Lihatlah 50 syarikat teratas, berapa banyak syarikat milik Bumiputera?

“Anda mungkin jumpa satu atau dua. Azman Hashim dan Syed Mokhtar Al-Bukhary. Itu sahaja.”

Katanya, beliau bimbang dengan dasar berasaskan kaum kerana dasar sedemikian diperkenalkan sejak 1970, tetap hanya 2 usahawan Bumiputera dilahirkan dalam kalangan 20 syarikat teratas.

Gomez ingin tahu jika penilaian sudah dilakukan ke atas dasar sedemikian, susulan pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula dasar berkaitan Bumiputera.

“Satu-satunya perkara yang kita dengar sejauh ini ialah (bekas menteri kewangan) Tun Daim Zainuddin kata, kali ini mereka akan melakukannya dengan betul. Apakah caranya untuk pastikan mereka akan melakukannya dengan betul kali ini?

“Adakah kita patut melaksanakannya tanpa penilaian wajar atau tunjuk kepada rakyat ‘inilah kesilapan kita’ dan cara untuk kita melakukannya dengan betul?”

Ditanya jika Malaysia memerlukan dasar berasaskan kaum yang lebih baik, Gomez berkata: “Jika anda mahu melaksanakan dasar itu, kita perlu berdebat mengenainya.

“Saya rasa ia tidak berjaya. Jangan lakukannya. Itulah hujah saya.”

Beliau turut menggesa rakyat berfikir berapa banyak pelaburan domestik yang wujud sejak Najib memperkenalkan dasar itu.

“Adakah mereka (pelabur) boleh melabur tanpa takut? Adakah mereka rasa hak hartanah mereka dilindungi?

“Ini isu-isu penting untuk meyakinkan pelabur hari ini,” katanya sambil menambah itu isu yang perlu kerajaan tumpukan.

Beliau memberi amaran pelabur akan hilang keyakinan jika kerajaan gagal berbuat demikian sebelum melaksanakan dasar berasaskan kaum.

Katanya, perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan baru dalam usaha mengembalikan ekonomi negara ke landasan betul ialah mendapatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Gomez berkata, kerajaan perlu melaksanakan beberapa langkah untuk membangunkan syarikat Bumiputera.

Sementara itu, katanya, Malaysia turut mendapat manfaat daripada pelaburan swasta China, tetapi lebih banyak fokus diberikan kepada projek kontroversi seperti projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, Malaysia akan terus menjadi destinasi yang mesra dan menguntungkan.

Katanya, wujud kebimbangan dan ketidaktentuan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China Ogos lalu mendapat hasil positif.

“Beliau memberi jaminan pelabur China dialu-alukan, dan menekankan betapa pentingnya China kepada Malaysia.

“Walaupun terdapat perbezaan dalam satu, 2 projek, secara keseluruhannya hubungan kedua-dua negara adalah sihat dan kuat.”