Rasuah: Bekas naib presiden Guatemala dipenjara 15 tahun

Roxana Baldetti turut berdepan 3 lagi pertuduhan rasuah.

BANDARAYA GUATEMALA: Sebuah mahkamah di Bandaraya Guatemala pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas bekas naib presiden, Roxana Baldetti bagi kesalahan rasuah selepas perbicaraan kes itu berlangsung selama 4 bulan.

Pihak pendakwaan berkata, antara 2014 dan 2015, sekumpulan pegawai dan eksekutif perniagaan yang diarahkan Baldetti menyeleweng kira-kira AS$2.5 juta daripada tabung awam negara miskin di Amerika Tengah itu.

Wang itu sebahagian daripada dana negara berjumlah AS$18 juta bagi rawatan anti-pencemaran di Tasik Amatitlan, 20km di selatan ibu negara.

Dalam penghakimannya, Hakim Pablo Xitumul berkata, Baldetti “mengambil bahagian dan mengarahkan” rangkaian jenayah itu untuk “menipu kerajaan Guatemala”.

Seramai 9 lagi individu terdiri daripada bekas pegawai dan eksekutif perniagaan dihukum penjara antara 3 hingga 15 tahun kerana mengambil bahagian dalam penipuan itu.

Baldetti, wanita pertama yang menjadi naib presiden Guatamala dan timbalan kepada Presiden, Otto Perez dari 2012 hingga 2015, turut berdepan 3 lagi pertuduhan rasuah.

Perez dan Baldetti ditahan sejak 2015, selepas dipaksa melepaskan jawatan masing-masing susulan skandal rasuah itu.

Mereka didakwa memainkan peranan dalam satu rangkaian rasuah dikenali “La Linea” yang menyaksikan kedua-duanya menerima suapan daripada ahli perniagaan sebagai pertukaran untuk menurunkan cukai import.

Selepas Perez dipaksa berundur, Jimmy Morales yang juga seorang pelawak televisyen tanpa pengalaman politik, dipilih sebagai presiden selepas bertanding bagi merebut jawatan itu atas tiket kempen anti-rasuah.

Morales kini disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan pembiayaan kempen secara haram.

Bagaimanapun, beliau dilindungi kekebalan presiden, selepas Parlimen Guatemala pada September mengundi untuk memihak kepadanya.

Pengecualian kekebalan itu dipohon Ogos lalu oleh pejabat pendakwa raya dan suruhanjaya anti-kekebalan disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditubuhkan untuk menyiasat rasuah negara.