Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar AS menjelang Bajet 2019

Malaysian ringgit notes against US dollar background

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini ketika sentimen pasaran kini beralih kepada bahang menjelang pembentangan Belanjawan 2019, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada paras 4.1510/1540 berbanding 4.1550/1600 yang dicatatkan sewaktu ditutup, semalam.

Ketua Perdagangan OANDA di Asia Pasifik, Stephen Innes berkata prestasi ringgit turut dipengaruhi oleh laporan media semalam mengenai usaha kerajaan untuk menangani defisit menerusi tindakan termasuk menjual aset serta kemungkinan melaksanakan cukai baru.

“Cukai bukanlah sesuatu yang digemari pasaran, namun pada masa sama usaha sedemikian dialu-alukan apabila menjadi antara langkah kerajaan untuk menangani defisit,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0071/0104 daripada 2.9959/9999 semalam dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6728/6768 daripada 3.6724/6785.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.7761/7813 daripada 4.7575/7640 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4598/4658 daripada 5.4190/4259.