RUU mansuh hukuman mati mungkin dibentang di Parlimen

PETALING JAYA: Satu rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

“Ini adalah perkembangan penting bagi negara.

“Saya harap satu memorandum boleh disiapkan untuk Kabinet bagi mendapat kelulusan supaya RUU pemansuhan boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam satu program pembaharuan undang-undang di Universiti Malaya hari ini.

Beliau berkata, isu itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Dewan Rakyat akan bersidang semula Isnin depan.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong sebelum ini berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dapat menghapuskan hukuman mati dalam 100 hari pentadbirannya.

Beliau berkata, PH perlu melakukan pembaharuan itu untuk menyokong hak asasi manusia di negara ini.

Baru-baru ini, Liew dilaporkan berkata, kajian semula akan dibuat daripada pelbagai aspek bagi memastikan hukuman sesuai dikenakan ke atas pesalah, khasnya bagi jenayah bunuh dan keganasan.

Di Malaysia, hukuman mati dikenakan ke atas jenayah seperti membunuh dengan niat, mengedar dadah bagi kuantiti yang banyak dan pemilikan senjata api.