Timbalan menteri: SOP serbuan khalwat akan ditambah baik

Fuziah Salleh berkata, jika dipersetujui semua pihak, SOP itu boleh diguna pakai semua jabatan agama Islam negeri ketika melakukan serbuan khalwat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengadakan perbincangan khas dengan jabatan agama Islam negeri minggu depan berhubung penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) serbuan khalwat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

“Akan perkemaskan, insya Allah kita nak mencari formula terbaik,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas seruan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor untuk menambah baik SOP serbuan khalwat bagi mengelakkan imej Islam sebagai agama toleransi tercemar.

Beliau dilaporkan berkata, undang-undang Islam mahu mencegah kemungkaran, tetapi penguatkuasaan tidak patut menceroboh ruang peribadi.

“Sebagai contoh, menyerbu atau merejah bilik hotel dengan sewenang-wenangnya berdasarkan andaian atau laporan yang kesahihannya diragui. Melakukan perkara seperti itu akan memberi gambaran salah terhadap Islam sebagai agama yang adil dan toleran kepada semua,” kata Wan Salim.

Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan berkata, sekiranya dipersetujui semua pihak dalam perbincangan khas itu, SOP itu boleh diguna pakai semua jabatan agama Islam negeri.

“Pusingan pertama dia membincangkan tatacara yang terbaik, kemudian baru akan dibuat cadangan tatacara yang telah dipersetujui.

“Selepas dimuktamadkan, baru diluluskan untuk diguna pakai.”