Tuntutan palsu: SPRM tahan pengarah urusan, 6 eksekutif syarikat

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah urusan bergelar Datuk dan 6 pegawai eksekutif syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan jalan kampung di sekitar negeri ini.

Menurut sumber, kesemua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja tersebut dari tahun 2014 sehingga sekarang sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

“Jumlah kos penyelenggaraan melibatkan sebanyak RM50 juta sehingga RM70 juta setahun,” kata sumber itu.

Kesemua suspek yang terdiri daripada 5 lelaki dan 2 wanita itu, berusia antara 30-an dan 60-an dan daripada syarikat yang sama ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 9 malam 8 Okt dan 9 pagi semalam.

Menurut sumber, siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan syarikat lain yang terlibat di sebalik tuntutan ini.

“Anggaran tuntutan palsu untuk tahun ini sahaja RM2 juta. Bagi tahun-tahun lain, masih dalam siasatan SPRM.

Syarikat ini diberikan kontrak menyelenggarakan jalan kampung di seluruh Johor. Dipercayai kerajaan negeri Johor melalui sebuah anak syarikatnya mempunyai saham dalam syarikat ini,” tambah sumber berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan 3 suspek telah direman semalam dan 3 lagi suspek akan dihadapkan ke mahkamah ari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu yang melibatkan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan kampung yang sepatutnya menjadi kepentingan masyarakat luar bandar, dilihat sebagai sesuatu yang SPRM tidak akan berkompromi dengan tindakan kakitangan syarikat tersebut yang membelakangkan kepentingan awam.

“Anggaran keseluruhan wang tunai yang disita adalah melebihi RM800,000,” tambah beliau serta menambah tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan ke atas individu lain yang terlibat.