Wan Azizah akui ditawar jawatan perdana menteri

Dr Wan Azizah berkata beliau menolak tawaran menjadi perdana menteri kerana berpegang kepada janji bahawa Dr Mahathir akan mengisi jawatan tersebut. (Gambar Bernama)

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui pernah ditawarkan menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Pertama kali berkongsi pengalaman berkenaan kepada kira-kira 200 rakyat Malaysia di Indonesia sempena lawatan kerja pertamanya ke negara itu, Dr Wan Azizah berkata Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V memberi tawaran itu memandangkan beliau merupakan presiden PKR, yang simbolnya digunakan semua parti dalam PH pada pilihan raya.

“Bagaimanapun saya menolak tawaran itu kerana kita berpegang kepada janji bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi perdana menteri dan saya menjadi timbalan perdana menteri,” katanya ketika berucap di Kedutaan Besar Malaysia di sini malam tadi.

Mengakui PH tidak menyangka dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, Dr Wan Azizah melahirkan rasa syukur pertukaran kerajaan selepas pilihan raya dapat dijalankan secara demokratik dan aman.

Bagaimanapun beliau berkata PH turut tidak menyangka kerajaan yang diambil alih, ditinggalkan dalam keadaan jumlah hutang begitu besar dan sistem yang parah.

Justeru, walaupun beberapa janji dalam manifesto PH belum dapat ditunaikan, beliau memohon agar rakyat bersabar sebelum kerajaan membawa perubahan yang diinginkan.

Menjawab soalan daripada seorang diaspora Malaysia sama ada kerajaan akan menilai menteri baru dan menukar mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik, Dr Wan Azizah berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian memandangkan baru 5 bulan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Beri kami sedikit masa kerana kami masih dalam ‘learning curve’ (keluk pembelajaran),” katanya sambil turut mengakui perdana menteri memberi amaran keras kepada jemaah menteri setiap kali mempengerusikan mesyuarat Kabinet supaya jangan sesekali terlibat dengan rasuah.

Menurutnya, hanya segelintir anggota jemaah menteri mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran kerajaan iaitu Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Wan Azizah turut berkongsi kebanggaannya menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat Kabinet baru-baru ini, berikutan ketiadaan Dr Mahathir yang mengadakan lawatan ke luar negara.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja sehari ke Indonesia pada Selasa, lawatan pertamanya ke negara ini selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 21 Mei lepas.