Zahid tinggalkan SPRM selepas lebih 8 jam disoal siasat

Zahid Hamidi tersenyum ketika meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih 8 jam disoal siasat.

Beliau keluar dari pintu utama diiringi beberapa pegawai SPRM pada 5.40 petang tadi.

Presiden Umno itu diminta datang ke ibu pejabat badan anti-rasuah itu bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan di Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

Apabila ditanya adakah beliau akan kembali ke SPRM, beliau berkata perkara itu akan ditentukan olehnya kemudian.

“Saya akan pilih tarikh dan hari saya sendiri,” katanya kepada pemberita.

Zahid tiba di SPRM pada 9.20 pagi tadi bersama anak perempuannya, Datuk Nurul Hidayah dan adik tiri, Datuk Seri Mohammad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Sementara itu, Zahid di Twitter selepas meninggalkan SPRM mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakannya hari ini.

“Terima kasih atas doa semua. Anak saya juga telah selesai memberi keterangan,” katanya.

Hari ini merupakan kali ketiga beliau tampil ke SPRM bagi memberi keterangan berkaitan kes yang sama.

Terdahulu, Zahid diminta menjelaskan dakwaan bahawa dana sebanyak RM800,000 milik yayasan digunakan untuk membayar bil kad kredit milik beliau dan isteri.

Zahid dilaporkan berkata beliau telah membayar semua wang milik yayasan yang digunakan untuk membayar bil kad kredit berkenaan.

Beliau berkata bayaran itu dibuat pada 2016, tetapi kemudiannya mendapati pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan untuk berbuat demikian.