8 jam disoal SPRM, sesi Zahid bersambung esok

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengangguk ketika ditanya adakah dia akan kembali ke SPRM esok untuk disoal penyiasat.

Beliau ditemui pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas lebih 8 jam disoal penyiasat.

“Terima kasih kepada media yang tunggu dari pagi sampai petang,” katanya.

Presiden Umno itu dipanggil badan anti-rasuah itu bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan di Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

Beliau keluar dari pintu utama diiringi beberapa pegawai SPRM pada 6.00 petang tadi.

Zahid tiba di SPRM pada 9.16 pagi tadi. Anak perempuannya, Datuk Nurul Hidayah pula tiba pada 9.20 pagi.

Ini adalah kali ke-4 Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan RM800,000 milik yayasan yang dipengerusikannya digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Sebelum ini Zahid dilapor berkata pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan dan dia dia sudah membayar semua wang yayasan yang digunakan untuk membayar bil kad kredit.