Ahli Parlimen Labuan umum keluar Umno, sertai Warisan Sabah

Rozman berkata, perubahan besar landskap politik negara selepas pilihan raya umum Mei lepas memberi peluang kepada Labuan memperbaiki sistem pentadbiran dan keluar daripada situasi sekarang. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Rozman Isli hari ini mengumumkan keluar Umno dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Setelah berfikir panjang dan mendengar pandangan pelbagai pihak, saya hari ini mengumumkan keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah walaupun secara peribadi sebenarnya saya tiada masalah, malah seronok (enjoy) menjadi Ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, perubahan besar kepada landskap politik negara selepas pilihan raya umum ke-14 Mei lalu memberi peluang kepada Labuan untuk memperbaiki sistem pentadbiran dan keluar daripada situasi sekarang.

“Wilayah Persekutuan Labuan memerlukan sokongan dan kekuatan yang cukup luas bagi membolehkan ia bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan,” jelasnya.

Sebelum ini, beliau yang menjadi wakil rakyat sejak 2013 dikatakan mengatur pertemuan dengan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrel Leiking di Labuan esok untuk menyerahkan borang keahlian parti itu.

Mengulas lanjut, Rozman berkata beliau berhasrat untuk memperjuangkan hak-hak yang termaktub seperti di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama-sama pemimpin Sabah dan Sarawak yang lain.

“Saya juga ingin bersama-sama dengan pemimpin Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang perlu dikembalikan kepada kedua-dua wilayah ini.

“Alhamdulillah, perdana menteri telah menyatakan komitmen beliau ke arah merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lepas Rozman memenangi kerusi Parlimen Labuan setelah memperoleh 10,164 undi mengalahkan calon Warisan Noor Halim Zaini yang mendapat mendapat 8,714 undi, calon PAS Ahmad Junid Mohd Aling (1,555) dan calon Harapan Rakyat, Siti Zaleha SW Ibrahim (925).