Ahli politik saman menyaman patut dihentikan, kata peguam

Ahli politik harus bersedia menghadapi pengawasan awam selain mempunyai medium mencukupi untuk menjawab tuduhan atau komen khalayak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata tindakan saman fitnah yang dibuat oleh ahli politik patut dihentikan kerana ahli politik sentiasa mempunyai medium yang membolehkan mereka menjawab segala pertuduhan dan komen pelbagai pihak.

“Zaman ahli politik cenderung melambakkan mahkamah dengan kes saman fitnah sudah patut diletakkan titik noktah,” katanya pada satu hantaran di Facebook malam tadi.

Peguam Asiah Abd Jalil berkata, kes saman fitnah yang dikemukakan oleh ahli politik pernah ditegur oleh hakim mahkamah yang menyifatkan tohmahan dan tuduhan terhadap golongan itu adalah asam garam dalam arena politik.

“Terdapat satu perbicaraan kes saman fitnah yang saya pernah baca. Hakim tegur ahli politik yang suka saman orang lain kerana dakwaan fitnah. Tidak habis-habis nak menyaman, kononnya saman fitnah di mahkamah adalah satu cara untuk membuktikan kebenaran,” katanya,

Beliau bagaimanapun tidak menamakan hakim yang dimaksudkan dalam hantaran berkenaan dan juga tidak dinyatakan kes yang berkaitan.

Tambahnya lagi, golongan itu tidak memerlukan saman fitnah sehingga ke mahkamah kerana mereka sentiasa mempunyai ruang untuk menjelaskan dan menjawab segala pertuduhan terhadap mereka.

“Dalam proses penghakiman itu juga, hakim menyebutkan, untuk menjadi ahli politik, mereka haruslah bersedia menghadapi pengawasan awam (public scrutiny).

“Kenalah bijak menangani komen dan tuduhan, itulah sepak terajang dunia politik,” katanya,

Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee bertindak memuat naik satu rakaman video yang mendesak pihak menyebarkan video menunjukkan beliau dalam keadaan beremosi ketika berunding dengan sekumpulan penduduk taman perumahan memadamkannya atau berdepan tindakan undang-undang.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad memfailkan saman terhadap seorang aktivis kumpulan hak asasi Islam yang mendakwa beliau “menganjurkan” pesta gay di ibu kota.

Saman itu difailkan oleh Khalid walaupun pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin sudah memadamkan kenyataan itu di laman Facebookya dan memohon maaf kepada Khalid.

Khalid berkata, beliau akan meneruskan saman fitnah itu walaupun Asshima sudah memohon maaf kerana beliau percaya wanita itu tidak ikhlas dan tidak kesal atas perbuatannya.