Aksi berlakon disalah faham sebagai maksiat

Perbuatan seorang warga emas menegur 2 lelaki supaya tidak melakukan maksiat viral di laman sosial selepas aksi 2 lelaki itu didapati hanyalah lakonan.

Ekoran itu, anak warga emas tersebut pula yang membuat permohonan maaf bagi pihak bapanya yang tidak sedar ia hanya lakonan semata-mata selain mengganggu proses rakaman.

Kedua-dua lelaki itu, Shukri Yahaya yang berseluar pink dan Fadzil Zahari membuat adengan bersalaman di hadapan papan informasi kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika itulah Shukri disapa warga emas dengan nasihat, “jangan buat maksiat dekat sini”.

Kedua-dua mereka terhenti sejenak diikuti lawak ketawa daripada krew yang sedang merakam adegan itu.

Ia dipercayai untuk sebuah drama berjudul ‘Split’.

Ekoran itu pengguna Twitter @Iedaa31 memohon maaf kerana bapanya tidak tahu ia adalah penggambaran drama.

“Video abah tepuk Shukri Yahaya di KLIA kepada Shukri Yahaya abah minta maaf sebab kacau. Abah tak tahu tengah berlakon,” tulisnya pada Rabu.

Menariknya, Shukri sempat membalas dengan menulis, “Kirim salam abah awak, abah awak terbaik.”.

Kedua-dua tweet tersebut menarik perhatian netizen bersama-sama video kejadian yang dimuatnaik pengacara Hlive! Elly Ariffin yang turut berlakon dalam drama tersebut.